Thursday, June 4, 2026

UPUOnline: 150,557 calon SPM 2024 ditawarkan tempat ke IPTA

Mereka merupakan 67.33 peratus daripada 223,624 permohonan yang diterima dan ditempatkan di pelbagai universiti awam, politeknik, kolej komuniti dan pusat pendidikan tinggi MARA.

Mesti Baca

SERAMAI 150,557 calon lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 berjaya ditawarkan tempat melanjutkan pengajian ke institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) menerusi sistem UPUOnline.

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) berkata, mereka merupakan 67.33 peratus daripada 223,624 permohonan yang diterima dan ditempatkan di pelbagai institusi.

Katanya, ini termasuk universiti awam (UA), politeknik, kolej komuniti (KK), dan institusi di bawah Bahagian Pendidikan Tinggi Majlis Amanah Rakyat (BPT MARA).

“Daripada jumlah itu 86,589 calon ditawarkan ke universiti awam; 42,058 ke politeknik; 20,427 ke kolej komuniti dan 1,483 ke BPT MARA,” kata KPT dalam kenyataan hari ini.

Dalam usaha memperluas akses pendidikan kepada golongan istimewa dan berkeperluan, KPT turut menawarkan tempat kepada 17,693 calon melalui Laluan Khas.

Katanya, ini merangkumi 16,189 calon dari keluarga B40; 590 orang kurang upaya (OKU); 593 atlet dan 321 Orang Asli. 

Katanya, turut diberi perhatian ialah 43 calon dari institusi di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang juga berjaya menerima tawaran.

“Sebanyak 349 program pengajian ditawarkan bagi sesi kali ini, merangkumi 41 program Sijil, 55 Asasi, 252 Diploma dan satu program Ijazah Sarjana Muda.

“KPT ingin menegaskan bahawa proses pemilihan dan penawaran dibuat berasaskan prinsip meritokrasi, dengan calon disusun mengikut markah merit tertinggi hingga ke rendah,” katanya.

KPT berkata, bagi calon yang tidak berjaya, saluran rayuan dibuka selama 10 hari bermula  12 tengah hari ini sehingga 5 petang, 25 Jun menerusi UPUOnline. – Edisi 9

Terkini

Hektar HEIT cadang ambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East

HEKTAR REIT bercadang mengambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East (KYSKLEIS) pada nilai RM125 juta bagi memperkukuhkan aliran pendapatan...

Lagi Artikel Berkaitan