Thursday, June 4, 2026

UiTM terus sokong dasar keutamaan bumiputera – MOF

Semua agensi kerajaan termasuk UiTM tertakluk kepada pekeliling Perbendaharaan PK1.5 yang mengutamakan penglibatan syarikat dan kontraktor Bumiputera

Mesti Baca

PELAKSANAAN perolehan di Universiti Teknologi MARA (UiTM) tetap menyokong dan memperkukuh dasar keutamaan kepada syarikat bumiputera, kata Kementerian Kewangan (MOF).

MOF dalam kenyataannya berkata, semua agensi kerajaan termasuk UiTM adalah tertakluk kepada pekeliling Perbendaharaan PK1.5 yang mengutamakan penglibatan syarikat dan kontraktor bumiputera dalam setiap urusan perolehan.

“MOF ingin menegaskan bahawa UiTM sentiasa mematuhi pelaksanaan dasar ini dan tidak pernah menyimpang daripada matlamat untuk memperkasakan penyertaan bumiputera dalam ekonomi negara,” kata kenyataan itu hari ini.

Kenyataan itu bagi menafikan dakwaan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) melalui media sosialnya bahawa UiTM meminggirkan hak bumiputera menerusi pelaksanaan perolehan universiti itu.

MOF turut menjelaskan bahawa pindaan terbaharu terhadap PK1.5 yang berkuat kuasa pada tahun 2025 mewajibkan jawatan Ketua Kewangan (financial controller) dalam syarikat bumiputera dilantik daripada kalangan bumiputera.

Katanya, langkah tersebut adalah sebahagian daripada usaha meningkatkan tahap profesionalisme dalam kalangan golongan tersebut.

Dalam masa yang sama, katanya,  UiTM tidak tertakluk kepada Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).

Ini kerana, menurut MOF, institusi itu merupakan sebuah badan berkanun yang tidak berada dalam ruang lingkup perjanjian berkenaan.

“Oleh itu, UiTM masih boleh meneruskan sepenuhnya pelaksanaan Dasar Keutamaan Bumiputera sebagaimana yang telah digariskan oleh kementerian dan tidak pernah meminggirkan agenda pemerkasaan bumiputera dalam sebarang pelaksanaan perolehan mahupun projek,” jelas MOF.

Kementerian itu menegaskan pihaknya akan terus memastikan setiap proses perolehan oleh agensi kerajaan mengutamakan syarikat Bumiputera.

Katanya, ini demi menjamin daya saing dan kemampanan ekonomi bumiputera dalam landskap ekonomi yang semakin mencabar. – Edisi 9

Terkini

Hektar HEIT cadang ambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East

HEKTAR REIT bercadang mengambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East (KYSKLEIS) pada nilai RM125 juta bagi memperkukuhkan aliran pendapatan...

Lagi Artikel Berkaitan