SERAMAI 64 warga asing dihalang memasuki negara selepas dikesan cuba menipu pihak berkuasa menggunakan dokumen palsu dalam satu operasi pemantauan berkala di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, hari ini.
Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) dalam satu kenyataan berkata, mereka yang ditahan terdiri daripada 57 lelaki warga Bangladesh, lima lelaki warga India dan dua lelaki warga Pakistan.
AKPS berkata, operasi yang dijalankan Unit Pemantau agensi itu melibatkan pemeriksaan rambang ke atas 330 penumpang asing dari pelbagai negara.
“Tumpuan operasi diberikan kepada individu yang mencurigakan dan berlegar-legar di sekitar balai ketibaan tanpa menuju ke kaunter imigresen,” kata kenyataan itu hari ini.
Menurut AKPS, siasatan lanjut mendapati kesemua 64 individu tidak memenuhi syarat kemasukan ke Malaysia.
Katanya, ada di antara mereka turut dikesan menggunakan taktik penipuan seperti dokumen tempahan hotel palsu dan tiket penerbangan pulang yang tidak wujud atau direka semata-mata.
AKPS berkata, operasi tersebut dijalankan mengikut Tatacara Kerja Piawai (ATKPI) serta arahan pentadbiran dan keselamatan semasa, bagi memastikan tahap keselamatan dan kawalan sempadan negara sentiasa terpelihara.
“AKPS komited untuk terus memperkukuh kawalan sempadan dan memastikan kedaulatan negara bebas daripada sebarang unsur pencerobohan, penipuan serta ancaman lain,” jelasnya.
Kesemua individu yang ditahan akan dihantar pulang ke negara asal dalam masa terdekat. – Edisi 9

