MCA tidak sewajarnya menyalahkan Barisan Nasional (BN) sebaliknya perlu bermuhasabah diri ekoran kemerosotan sokongan orang Cina terhadap parti itu sejak beberapa siri pilihan raya sebelum ini.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, ini terbukti apabila BN bertanding solo pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu, MCA hanya memenangi dua kerusi sahaja.
“MCA kena tanya diri sendiri kenapa sokongan kaum Cina kepada parti itu merosot? Kenapa di PRU15, MCA menang dua kerusi sahaja?
“Tiada kaitan terhadap BN. Ketika itu BN bertanding solo. Kerjasama BN dan PH (Pakatan Harapan) untuk membentuk kerajaan hanya berlaku selepas PRU15,” katanya menerusi Facebook beliau hari ini.
Beliau mengulas keyataan Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon bahawa partinya telah dilukai berulang kali sehingga perlu memikirkan hala tuju sendiri.

Sin Woon berkata, MCA sudah memberi masa dua tahun tetapi BN masih tidak menetapkan hala tuju yang jelas, satu keadaan yang mendorong MCA mempertimbangkan jalan yang ada di depan.
Katanya, mesyuarat bahagian MCA yang diadakan pada Jun diharapkan dapat membincangkan perkara itu sebelum memanjangkan pendapat kepada MCA negeri dan kemudian pusat.
Mengenadi dakwaan Ketua Pemuda MCA Johor, Heng Zhou Li bahawa kerjasama BN dan PH akan menjejaskan masa depan UMNO, Mohd Puad berkata, pandangan itu sangat dangkal.
Ini kerana, kata ADUN Rengit itu, UMNO telah terjejas teruk apabila BN kalah dalam PRU14 namun parti itu tidak menyalahkan BN.
“UMNO bangkit semula. Untuk tuduh UMNO merosot, lihatlah tiga PRK (Pilihan Raya Kecil) di Nenggiri, Mahkota dan Ayer Kuning. Sebab itu MCA perlu tabah.
“MCA jangan merajuk sampai menarik diri di PRN 2023 (Kedah, Kelantan, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang),” katanya.
Mohd Puad berkata, MCA sepatutnya memberi fokus kepada peranan dan jawatan yang mereka pegang di Johor, Melaka, Perak dan Pahang dengan membuktikan kecemerlangan parti itu untuk menarik balik sokongan rakyat terhadap BN.
Pada masa yang sama, kata beliau, UMNO akan terus mempertahankan BN manakala MCA, MIC dan Friends of BN akan tetap menjadi rakan setia UMNO.
“Kerjasama BN-PH adalah untuk kelansungan rakyat dan kerajaan yang stabil. BN mesti membuktikan ia mendengar nasihat Raja-raja Melayu, komited dan kekal sederhana. Itulah hala tuju yang jelas,” katanya. – Edisi 9

