Friday, June 5, 2026

Abdul Hadi eksploitasi teks agama, sesatkan umat Islam

Menyamakan PRK DUN Ayer Kuning dengan Peristiwa Hudaibiyah dan meletakkan kepentingan politik mengatasi kefarduan ibadah haji...

Mesti Baca

KENYATAAN Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang menyamakan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning dengan Peristiwa Hudaibiyah serta meletakkan kepentingan politik mengatasi kefarduan ibadah haji merupakan satu bentuk eksploitasi teks agama yang boleh menyesatkan umat Islam.

Tokoh akademik yang juga pendakwah bebas, Dr Abu Hafiz Salleh Hudin berkata, ini kerana Ahli Parlimen Marang itu jelas menyalahgunakan dalil agama dalam kenyataan politiknya.

“Saya amat kesal dengan kenyataan Presiden PAS yang menyamakan PRK DUN Ayer Kuning dengan peristiwa Hudaibiyah serta meletakkan kepentingan politik mengatasi kefarduan ibadah haji.

“Ini satu bentuk eksploitasi teks agama yang boleh menyesatkan umat,” katanya menerusi platform Tiktoknya hari ini.

Ketika berceramah di pentas Perikatan Nasional (PN) dalam PRK DUN Ayer Kuning malam semalam, Abdul Hadi dilapor memberi ‘signal’ supaya masyarakat Islam di negara ini mengutamakan kemenangan politik, selain perlu menangguhkan hasrat menunaikan umrah dan haji.

Beliau mendakwa, ketetapan berkenaan dibuat dengan mengambil ibrah peristiwa Rasulullah SAW dihalang melaksanakan umrah hingga termeterainya Perjanjian Hudaibiyah.

Abdul Hadi mendakwa, kemenangan politik tidak boleh ditangguhkan dan Islam perlu berkuasa, seiring firman Allah yang mahu dunia diperintah menerusi ajaran Islam.

Beliau mengakui umat Islam ketika ini tidak mengamalkan pendekatan berkenaan, sebaliknya lebih memilih menunaikan umrah dan haji berbanding mendapatkan kemenangan politik.

“Inilah orang Amanah tak baca, golongan yang melompat (daripada Pas), (ahli) UMNO tidak baca (sirah Rasulullah). Mudah saja ikut DAP kerana kejahilan.

“Kita mesti faham, kemenangan politik kepada Islam sangat penting. Islam mesti berkuasa dan memerintah sekali gus memimpin.

AMIDI ABDUL MANAN

“Di Malaysia, orang Melayu adalah majoritinya Islam. Mereka berhak memimpin, bukan bermakna kita menafikan hak bukan Islam

“Bukan Islam dibenarkan berada dalam negara Islam dan menyertai kerajaan tetapi kuasa politik yang tinggi mesti (diterajui) orang Islam,” katanya seperti dilapor media, semalam.

Menurut Abu Hafiz, dalam konteks Malaysia hari ini, umat Islam memegang tampuk kepimpinan negara mulai daripada Raja-raja Melayu sehingga kepada Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri.

“Maka naratif bahawa hanya Pas mewakili suara Islam bukan sahaja tidak tepat, tetapi membahayakan keharmonian dan perpaduan umat Islam di negara ini,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pemahaman dan Pemantapan Agama, Parti Keadilan Rakyat (PKR), Amidi Abdul Manan pula menyifatkan kenyataan Abdul Hadi itu sebagai memanipulasi konteks tersebut secara tidak jujur dari sudut sejarah dan ilmu.

“Rasulullah SAW berihram di Bir Ali ini satu bukti bahawa Baginda keluar dengan niat ibadah, bukan dengan niat politik atau peperangan. Bahkan Baginda elakkan sebarang tindakan yang boleh mencemar imej Islam dalam bulan haram,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Amidi berkata, perbezaan antara perjuangan Rasulullah SAW dan Presiden Pas adalah sangat ketara.

“Baginda tidak pernah membenarkan perjuangan Islam dijadikan alat propaganda, apatah lagi untuk memburukkan pihak lawan dalam kalangan umat Islam sendiri,” katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Pengerusi Majlis Ulama UMNO Malaysia, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali mengingatkan pihak berautoriti seperti Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan yang layak untuk mengeluarkan fatwa dalam isu sebesar itu agar umat tidak terperangkap dalam kekeliruan yang boleh memudaratkan akidah dan amalan mereka.

fitnah jahat pekerja vaksin
MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI

“Kenyataan umum seperti ini yang bersifat fatwa politik tidak boleh dibiarkan tanpa semakan. Ia mesti dibawa ke Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan untuk dinilai dengan adil dan ilmiah,” tegas beliau.

Sementara itu, Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pula berkata, pihaknya bersama Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan dan pihak-pihak berautoriti sedang dalam tindakan meneliti kenyataan yang dibuat Abdul Hadi

“Jakin menyeru semua pihak agar sentiasa berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan yang menyentuh hal-hal berkaitan agama supaya tidak menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat,” katanya dalam kenyataan. – Edisi 9

Terkini

Hektar HEIT cadang ambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East

HEKTAR REIT bercadang mengambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East (KYSKLEIS) pada nilai RM125 juta bagi memperkukuhkan aliran pendapatan...

Lagi Artikel Berkaitan