Thursday, July 23, 2026

Kemenangan BN bukti rakyat tolak politik kebencian – Zahid

Lebih manis apabila 10 daripada 11 Pusat Daerah Mengundi (PDN) yang tewas kepada pembangkang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu kembali semula ke pangkuan BN.

Mesti Baca

KEJAYAAN Barisan Nasional (BN) mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, Tapah, Perak dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) hari ini menjadi bukti jelas bahawa rakyat semakin bijak menilai.

Menurut Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, mereka menolak politik kebencian dan memilih kestabilan, kemajuan serta kepimpinan yang berwibawa.

Beliau berkata, lebih manis apabila 10 daripada 11 Pusat Daerah Mengundi (PDN) yang tewas kepada pembangkang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu kembali semula ke pangkuan BN.

“Ia juga isyarat kukuh bahawa Kerajaan Perpaduan diterima kerana mampu mengurus tadbir negeri dan negara dengan baik, berasaskan prinsip perpaduan, pembangunan dan kesejahteraan rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Calon BN, Dr. Mohamad Yusri Bakir, 54, berjaya menewaskan pesaingnya darivPerikatan Nasional (PN), Abd. Muhaimin Malek, 44, dan Bawani KS dari Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, beliau percaya kemenangan tersebut adalah kesinambungan legasi kecemerlangan Allahyarham Ishsam Shahruddin, seorang tokoh yang telah menabur bakti dengan penuh dedikasi kepada rakyat Ayer Kuning. 

“Semangat beliau akan terus hidup dan menjadi inspirasi kepada perjuangan kita,” katanya.

Timbalan Perdana Menteri itu turut  berpesan kepada Yusri bahawa kemenangan tersebut membawa amanah yang besar di bahu beliau. 

“Teruskan khidmat bakti dengan rendah hati, dengan penuh keikhlasan dan komitmen untuk memajukan serta memakmurkan Ayer Kuning,” katanya.

Sementara itu Zahid menzahirkan penghargaan yang tidak terhingga kepada seluruh jentera BN, khususnya Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad dan rakan-rakan Kerajaan Perpaduan yang telah bertungkus lumus, berkampung, berkorban masa dan tenaga demi memastikan kejayaan ini. 

“Semangat juang dan keikhlasan kalian adalah tiang seri kemenangan ini,” kata beliau. – Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan