PASANGAN panda gergasi Fu Wa dan Feng Yi yang telah ditempatkan di Pusat Konservasi Giant Panda (PKGP) Zoo Negara sejak tahun 2014 akan dihantar pulang ke China bulan depan.
Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) dalam kenyataan memberitahu, ini kerana Malaysia bakal menerima pasangan panda gergasi baharu bagi tempoh 10 tahun hingga 2035.
Menurut NRES, ia susulan pemeteraian perjanjian baharu antara Malaysia dengan China menerusi Projek Kerjasama Antarabangsa Konservasi Panda Gergasi.
Katanya, pemeteraian perjanjian baharu itu dimeterai sempena lawatan negara oleh Presiden China, Xi Jinping ke Malaysia, we baru-baru ini.
“Sebagai persediaan, Fu Wa dan Feng Yi menjalani proses kuarantin mulai semalam di PKGP untuk memastikan tahap kesihatan berada pada tahap terbaik, memenuhi keperluan permit di bawah perundangan antarabangsa serta latihan sangkar untuk membiasakan diri bagi penerbangan dari Malaysia ke China.
“Sepanjang tempoh kuarantin, pengunjung tidak lagi boleh melihat Fu Wa dan Feng Yi secara dekat tetapi masih berpeluang untuk melihat mereka daripada pusat pembelajaran PKGP pada masa tertentu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini tiga anak pasangan panda itu telah dihantar pulang ke China, dengan Nuan Nuan dihantar pada 14 Nov 2017 manakala Yi Yi serta Sheng Yi pada 29 Ogos 2023.
Mengulas lanjut, NRES memaklumkan, Zoo Negara juga telah merancang pelbagai program sepanjang tempoh kuarantin itu bagi memberi peluang kepada rakyat Malaysia untuk meraikan Fu Wa dan Feng Yi yang telah berada di negara ini sejak 21 Mei 2014.
Kementerian itu menjelaskan, ia termasuk menyediakan papan ucapan perpisahan, sesi bersama penjaga panda gergasi, tayangan dokumentari serta pertandingan menulis dan melukis.
Jelasnya, pengunjung boleh mendapatkan maklumat mengenai program-program tersebut melalui laman sesawang dan platform media sosial Zoo Negara.
“Zoo Negara akan menambah baik fasiliti dan eksibit di PKGP sepanjang tempoh ketiadaan panda gergasi sebagai persiapan untuk menerima pasangan panda gergasi baharu yang dijadualkan pada bulan Ogos 2025.
“Kerjasama panda gergasi merupakan simbol persahabatan erat antara Malaysia dengan China dalam memupuk diplomasi konservasi.
“Ia juga manifestasi nilai Malaysia MADANI iaitu kelestarian, ihsan dan kerjasama demi alam sekitar dan masa depan bersama yang lebih sejahtera,” katanya. – Edisi 9

