Wednesday, July 22, 2026

Felda lancar Damar Berkat banteras monopoli peraih luar

Sistem lama telah membuka ruang kepada 'singa, buaya dan gajah' yang menindas peneroka melalui manipulasi harga dan penipuan timbangan. - Ahmad Shabery

Mesti Baca

Lukman Ismail
Lukman Ismail
Berkecimpung lebih 30 tahun dalam dunia kewartawanan bersama media arus perdana. Keutamaan dalam penulisan berkaitan politik, sukan dan teknologi maklumat.

LEMBAGA Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) melancarkan Pusat Mengumpul Sawit (PMS) Damar Berkat, satu sistem pengumpulan hasil sawit bersepadu yang bakal mengembalikan hak peneroka dan membanteras peraih luar.

Pengerusi Felda, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, pengenalan sistem itu merupakan detik permulaan kepada reformasi besar-besaran dalam pengurusan hasil peneroka yang sebelum ini menjadi mangsa kepada rantaian sistem tidak telus didalangi peraih, sindiket penimbang dan ejen luar.

“Sistem lama telah membuka ruang kepada ‘singa, buaya dan gajah’ yang menindas peneroka melalui manipulasi harga dan penipuan timbangan. Peneroka kerja siang malam, tetapi hasilnya orang lain kaut.

“Felda tidak boleh lagi berdiam diri. Ketirisan yang berlaku bukan sahaja merugikan peneroka secara individu, malah FELDA secara keseluruhan dengan anggaran kerugian mencecah RM200 juta setahun akibat kehilangan hasil tidak direkod dan aktiviti luar sistem.

“Mereka (peraih) memanipulasi hasil sawit, ambil untung tanpa usaha, sawit ‘hilang’ di tengah jalan malah pembayaran tidak telus. Situasi ini telah melemahkan kedudukan koperasi dan menjejaskan ekosistem pembangunan luar bandar,” katanya.

Ahmad Shabery Cheek menunjukkan sistem Damar Berkat yang dapat menjejak kedudukan lori EV yang membawa hasil ke kilang.

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan PMS Damar Berkat di Felda Bukit Damar, Wilayah Mempaga dekat Lanchang, Pahang hari ini.

Ahmad Shabery berkata, beliau sedar ada dalam kalangan peneroka selama ini mengejar wang segera sehingga sanggup menjadi dimanipulasi oleh peraih luar kerana kelemahan sistem tersebut.

Sehubungan itu, katanya, dengan adanya PMS Damar Berkat, Felda kini boleh melakukan kawalan penuh ke atas proses pengumpulan hasil sawit, bermula dari ladang hingga ke kilang.

“Segala keuntungan daripada operasi Damar Berkat akan disalurkan semula kepada peneroka melalui dividen koperasi sebagai satu lagi langkah yang memperkukuh kembali kekuatan ekonomi warga tanah rancangan.

“Ini bukan soal sawit semata-mata. Ini soal keadilan. Ini soal kita menuntut kembali apa yang sepatutnya menjadi milik kita,” ujarnya lantang.

Beliau berkata, setiap hasil kini direkod secara digital dan dipantau melalui sistem yang telus dan akan dikendalikan sepenuhnya oleh Koperasi Permodalan Felda (KPF), sekali gus menghapuskan peranan orang tengah.

Ahmad Shabery berkata, menerusi sistem tersebut, peneroka tidak perlu lagi menghantar buah sawit ke luar sistem dengan bayaran tidak telus dan dipotong secara tidak sah.

Pusat pengumpulan itu sebaliknya akan menjadi pangkalan data hasil peneroka yang lebih sistematik, membantu Felda merancang strategi pasaran, logistik dan bantuan subsidi dengan lebih tepat dan bersasar.

“Ini selaras dengan transformasi Felda ke arah organisasi yang berdaya saing dan mampan dalam memulihkan semula kepercayaan peneroka terhadap institusi ini, yang sebelum ini sedikit tercalar akibat kelemahan pengurusan dan pengaruh pihak luar.

“Peneroka kini bukan sahaja dapat menjual hasil pada harga yang lebih adil, malah menerima bayaran secara lebih cepat dan telus. Ini memberikan kelegaan besar kepada golongan yang selama ini terpaksa bergantung kepada bayaran tidak menentu daripada pembeli luar,” kongsinya.

Sementara itu, Ahmad Shabery berkata, Felda juga memperkenalkan penggunaan lori berasaskan elektrik (EV) yang dilengkapi dengan sistem kebolehjejakan, sekali gus mengurangkan ketirisan. – Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan