DALAM dunia media yang serba pantas hari ini, kesilapan teknikal mungkin dianggap lumrah, namun apabila melibatkan lambang negara khususnya Jalur Gemilang ia satu kesilapan bukan lagi sesuatu yang boleh dikompromi.
Isu penerbitan bendera Malaysia tanpa lambang bulan sabit oleh dua organisasi media arus perdana semalam telah mencetuskan persoalan besar, adakah ini sekadar kecuaian editorial atau satu bentuk penghinaan yang terselindung?
Akhbar Sin Chew Daily, sebuah penerbitan yang telah lama bertapak dan cukup dikenali, telah menyiarkan gambar di muka depan bendera Malaysia yang tidak lengkap, tanpa bulan sabit.
Manakala di platform digital pula, Kwong Wah Yit Poh turut menyiarkan ilustrasi Jalur Gemilang yang sama cacat sifatnya di akaun rasmi Facebook mereka.

Walaupun kedua-duanya mungkin dilihat sebagai ‘kesilapan teknikal’, tindakan undang-undang telah dimulakan ke atas kedua-dua organisasi.
Bagi Sin Chew Daily, kes disiasat oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) di bawah Akta Lambang dan Nama 1963 serta Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.
Manakala untuk Kwong Wah Yit Poh, siasatan dijalankan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, khususnya Seksyen 233.
Namun persoalan sebenar bukan sekadar pada undang-undang yang diguna pakai sebaliknya ia terletak pada kepekaan dan tanggungjawab.
Adakah organisasi media sebesar itu tidak mempunyai sistem semakan editorial yang ketat?
Bagaimana sesuatu yang sebegitu asas seperti rupa bentuk bendera negara ini boleh terlepas pandang?
Profesor Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong menyifatkan perkara tersebut sebagai satu kesalahan serius yang berulang-ulang dan dilakukan oleh kelompok yang sama.

Menurut pensyarah Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), tiada lambang bulan sabit pada lakaran Jalur Gemilang adalah satu kecuaian yang sangat berat.
Ini kerana, kata beliau, ia bukan sahaja menimbulkan kegusaran malah boleh mencetuskan konflik kaum jika tidak ditangani segera dan dengan tegas.
Bahkan beliau berkata, insiden seperti itu bukanlah pertama kali berlaku sebaliknya berulang-ulang dilakukan oleh kelompok yang sama.
“Sejak tahun 2016, kita sudah melihat bendera dipasang terbalik di Miri dan Kuantan. Pada tahun 2019 pula, dalam satu kejohanan bola keranjang kebangsaan, Jalur Gemilang dipaparkan dengan bintang pelik berbucu lima.
“Kini pula bendera tanpa bulan sabit. Ia jelas menunjukkan sikap sambil lewa terhadap lambang negara,” katanya kepada Edisi 9 hari ini.
Dr Teo berkata, perasaan marah dalam kalangan orang Melayu terhadap perkara ini tidak dapat dielakkan kerana mereka perlu dihormati sebagai penduduk asal dan pemilik negara ini.
“Sudah tentu mereka merasakan orang Cina tidak menghormati orang Melayu sebagai kaum teras dalam negara ini.”
Dalam aspek perundangan pula, Dr. Teo berkata, negara ini memiliki peruntukan yang jelas melalui Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963.
“Akta ini wujud untuk mencegah penyalahgunaan lambang-lambang kebangsaan. Maka, ia wajar digunakan terhadap kes seperti ini bagi mengelakkan kejadian berulang,” katanya.
Peranan media
Beliau turut menekankan peranan besar media dalam menjaga sensitiviti rakyat pelbagai kaum.
“Media, dengan edaran yang luas sama ada dalam bentuk cetakan, radio, televisyen mahupun media sosial, mempunyai pengaruh besar.
“Oleh itu, perlu ada garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat supaya sebarang kandungan tidak menyentuh sensitiviti kaum, agama dan institusi raja (3R),” katanya.
Beliau turut menggesa para pemimpin masyarakat Cina tampil lebih aktif mendidik komuniti mereka untuk membina jati diri kebangsaan yang lebih kuat.
“Pemimpin Cina perlu lebih ke hadapan dalam mendidik masyarakat mereka tentang pentingnya memahami dan menghormati cara hidup orang Melayu.
“Mereka perlu menguasai bahasa Melayu, menghormati budaya dan sistem kenegaraan kita. Selama ini, mereka hanya menekankan kemakmuran ekonomi.
“Tetapi kemakmuran sosial juga sangat penting. Apa ertinya negara ini maju jika rakyatnya tidak relevan secara sosial, tidak tahu bahasa negara dan tidak ada jiwa nasional?,” katanya.

Beliau turut menyentuh keperluan untuk mengembalikan subjek-subjek kenegaraan seperti Pendidikan Sivik dalam sistem pendidikan negara.
“Kita perlu melihat semula kurikulum dan kembalikan subjek tatarakyat sebagai proses pembentukan semula negara bangsa.
“Ketua negara sendiri dalam titah pada pembukaan sidang Parlimen Februari 2024 menyebut secara spesifik bahawa masih ramai rakyat tidak memahami bahasa negara dan budaya kaum lain.
“Ini adalah tanda bahawa pembentukan negara bangsa kita telah gagal dalam beberapa aspek,” katanya.
Beliau turut memberi pandangan berhubung isu permohonan maaf dalam kes seumpama ini.
“Kalau kesilapan itu tidak disengajakan, maka ada keperluan untuk kita berjiwa besar dan memaafkan.
“Tetapi apabila perkara ini sering kali dilakukan oleh kelompok yang sama, maka tidak wajar untuk kita terus bertolak ansur.
“Kesabaran rakyat ada hadnya. Perkara ini tidak boleh lagi diterima, malah tidak sepatutnya berlaku lagi.”
“Kita patut lebih tegas. Kalau mereka tidak belajar daripada kesilapan, maka tindakan lebih tegas perlu diambil agar perkara ini tidak berulang,” katanya. – Edisi 9

