TIADA nama pemain warisan atau naturalisasi baharu yang dipanggil untuk memperkuatkan skuad Harimau Malaya sepertimana diumumkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini.
Itu berdasarkan 27 nama pemain yang dipanggil bagi menjalani latihan menjelang aksi Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Nepal, 25 Mac ini.
Nama-nama pemain yang beraksi di Eropah seperitimana digembar-gemburkan akan dibawa masuk di bawah pelan revolusi bola sepak kebangsaan sebelum ini, langsung tidak kelihatan.
Sebaliknya skuad kendalian Peter Cklamovski masih bergantung harap kepada para pemain sedia ada, termasuk pemain naturalisasi dan warisan yang sudah jarang beraksi seperti Mohamadou Sumareh dan Corbin-Ong.
Cklamovski menjelaskan ketiadaan pemain warisan baharu dalam senarai berkenaan disebabkan urusan untuk mendapatkan pasport mereka masih belum selesai.
Pengendali dari Australia itu menjelaskan, kemungkinan perkembangan mengenai status pemain warisan berkenaan akan diumumkan minggu depan.
“Proses untuk pemain warisan baharu di peringkat akhir, saya fikir berita yang positif akan hadir minggu depan. Siapa pun yang bermain di atas padang, mereka adalah pemain Malaysia.
“Saya difahamkan kertas kerja di peringkat akhir dan mungkin pasukan kebangsaan akan membuat pengumuman mungkin minggu depan,” katanya pada sidang media di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), hari ini.
Pun begitu, kehadiran Faisal Halim yang dipanggil semula dalam skuad kebangsaan buat kali pertama selepas tragedi simbahan asid sedikit mengukir senyum para penyokong Harimau Malaya.
Faisal yang juga penjaring gol terbaik Piala Asia 2023 antara nama yang disenaraikan bersama-sama pemain regular skuad kebangsaan sebelum ini.
Mereka ialah Syihan Hazmi, Kalamullah Al-Hafiz dan Haziq Nadzli yang mengisi posisi penjaga gol.
Daniel Ting, Dion Cools, Harith Haiqal, Corbin-Ong, Matthew Davies, Quentin Cheng, Safwan Mazlan, Shahrul Saad dan Zikri Khalili di bahagian pertahanan.
Posisi tengah diisi oleh Afiq Fazail, Endrick Dos Santos, Nazmi Faiz, Natxo Insa, Nooa Laine, Safawi Rasid, Stuart Wilkins dan Syamer Kutty.
Manakala penyerang pula bergantung harap kepada Akhyar Rashid, Arif Aiman, Haqimi Azim, Paulo Josue, Romel Morales selain Sumareh dan Faisal Halim.
Harimau Malaya akan menentang Nepal bagi mencari slot ke Piala Asia 2027 pada 25 Mac ini di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri dengan sepak mula pukul 10 malam.
Tiket-tiket berharga RM40 bagi dewasa dan RM5 untuk kanak-kanak mula dijual mulai hari ini. – Edisi 9

