KERAJAAN diminta memandang serius serta bertindak tegas terhadap pengimport dan pengilang beras yang didapati menipu dengan mencampurkan beras putih tempatan bersama beras import bagi meraih keuntungan yang lebih.
Exco Pemuda UMNO Malaysia, Mohd Kamal Ulum Morsin berkata, mereka yang terbabit perlu dikenakan hukuman berat termasuk menarik balik lesen pengimport dan pengilang beras sebagai pengajaran dan demi menjaga hak pengguna.
Beliau yang juga Biro Pertanian, Keterjaminan Makanan dan Komoditi pergerakan itu berkata, ini kerana perlakuan tersebut memberi impak yang buruk kepada kerajaan berkaitan penguatkuasaan dan mungkin salah guna kuasa.
“Isu ini bukan sekadar menjejaskan pengguna tetapi juga petani tempatan yang berusaha menghasilkan beras berkualiti.
“Tiada kompromi terhadap pihak yang tamak dan mengambil kesempatan atas keperluan rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau mengulas penemuan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) bahawa terdapat pengilang yang mencampurkan beras putih tempatan dengan beras import, dipercayai bagi mendapatkan profit lebih tinggi.
Analisis dijalankan Mardi terhadap lebih 5,000 sampel butir beras yang dijual sebagai beras import mendapati, sekitar 40 hingga 50 peratus daripadanya mengandungi asid deoksiribonukleik (DNA) beras tempatan.
Ekoran itu Mohd Kamal menggesa kementerian ean agenai berkaitan melakukan pemeriksaan menyeluruh ke atas semua pengilang dan pengimport bagi memastikan tiada lagi manipulasi harga dan produk.
Katanya, syarikat yang didapati bersalah perlu dikenakan tindakan tegas, termasuk penarikan lesen perniagaan serta denda besar agar masalah ini tidak berulang
Beliau berkata, kerajaan boleh mewajibkan penggunaan teknologi seperti kod QR pada pembungkusan untuk membolehkan pengguna menyemak asal-usul beras yang dibeli.
Katanya, jika kebergantungan kepada beras import menjadi punca masalah, kerajaan perlu mempercepatkan langkah meningkatkan hasil pengeluaran padi tempatan.
“Isu tentang harga siling padi yang rendah sekarang seperti tuntutan petani perlu segera ditangani.
“Dan saya percaya jika isu penguatkuasaan perihal isu menipu campuran beras ini berjaya ditangani beberapa isu berbangkit tentang petani padi akan diatasi,” katanya. – Edisi 9

