Thursday, July 23, 2026

Program STEM @UniMadani tarik minat pelajar terhadap robotik

Mesti Baca

Editor Edisi 9
Editor Edisi 9
Editor Edisi 9

PENDIDIKAN Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM) memainkan peranan penting membentuk minda kritis, kreatif, dan inovatif di kalangan kanak-kanak.

Pada era digital ini, kemahiran STEM bukan sahaja diperlukan untuk kerjaya masa depan tetapi juga untuk menyelesaikan masalah global seperti perubahan iklim, ketidakadilan sosial, dan kemerosotan alam sekitar.

Melalui pendidikan STEM, kanak-kanak dapat mempelajari cara berfikir secara logik, menyelesaikan masalah, dan berinovasi.

Ini amat penting bagi generasi muda, terutamanya mereka yang berasal dari keluarga berpendapatan rendah (B40), untuk mendapatkan peluang yang sama dalam bersaing di peringkat global.

Menyedari hakikat tersebut, baru-baru ini telah dilaksanakan program STEM@UniMadani: Pengukuhan Pendidikan STEM untuk Generasi Muda oleh Universiti Malaya (UM) dengan kerjasama Projek Yusuff.

Program ini bertujuan untuk memperkasakan pendidikan STEM di kalangan pelajar dari golongan B40, khususnya mereka yang tinggal di Program Perumahan Rakyat (PPR) Pantai Ria, Kuala Lumpur, dan pelajar Sekolah Kebangsaan (2) Sultan Alam Shah (SK2SAS), Petaling Jaya.

Peserta program STEM@UniMadani.

Program ini mendapat tajaan penuh melalui geran penyelidikan Komuniti@UniMadani dari Kementerian Kewangan Malaysia.

Menurut penasihat program, Prof. Madya Ir. Dr. Khairunnisa Hasikin, program tersebut menawarkan pelbagai aktiviti menarik seperti kelas robotik Bristlebot, pengaturcaraan Arduino, sukan pembelajaran, dan lawatan sambil belajar ke tempat-tempat seperti Petrosains dan Pusat Sains Negara.

Katanya, melalui aktiviti berkenaan, para pelajar bukan sahaja didedahkan kepada konsep asas STEM tetapi juga digalakkan untuk meneroka teknologi dan inovasi masa hadapan.

DR KHAIRUNNISA HASIKIN

“Program STEM@UniMadani bukan sekadar tentang mengajar sains dan teknologi, tetapi tentang membuka minda pelajar untuk melihat potensi mereka dalam menyelesaikan masalah global.

“Melalui kerjasama dengan komuniti dan sokongan kewangan dari Kementerian Kewangan, kami berharap dapat melahirkan generasi muda yang celik teknologi dan berdaya saing di peringkat antarabangsa,” kata beliau yang juga Pengetua, Kolej Kediaman Raja Dr. Nazrin Shah, UM.

Sebahagian daripada program ini adalah kerjasama dengan Projek Yusuff, sebuah inisiatif kelas tambahan percuma untuk pelajar berusia 7 hingga 12 tahun dari golongan B40.

Projek Yusuff menyediakan platform pembelajaran yang lebih mendalam melalui kelas robotik mingguan dan pengaturcaraan Arduino. Pelajar yang menunjukkan minat mendalam dalam bidang STEM dipilih untuk menyertai kelas intensif tersebut.

Sementara itu, Pengarah Program, Nur Sabrina Amrul Hazli berkata, melalui program tersebut, mereka dapat melihat bagaimana pelajar yang pada mulanya tidak berminat dengan sains dan matematik, kini mula menunjukkan minat yang mendalam.

NUR SABRINA

“Aktiviti seperti membina Bristlebot dan memprogram Arduino bukan sahaja menyeronokkan tetapi juga membuka minda mereka tentang bagaimana teknologi boleh digunakan dalam kehidupan seharian.

“Ini adalah langkah pertama untuk membina generasi yang lebih inovatif,” katanya.

Dia berkata, dengan sokongan daripada kerajaan, komuniti, dan institusi pendidikan, program ini menjadi bukti bahawa pendidikan STEM yang berkualiti boleh diakses oleh semua, tanpa mengira latar belakang sosioekonomi.

“Ini adalah langkah penting ke arah melahirkan generasi muda yang berdaya saing dan berinovasi untuk masa depan Malaysia,” katanya.

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan