BEKAS Duta Malaysia ke Amerika Syarikat (AS), Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz dianggap sebagai ‘penjilat’ apabila mendakwa suara Datuk Dr Akmal Saleh hanya mewakili sebahagian kecil orang Melayu.
Sehubungan itu, Akmal yang juga Ketua Pemuda UMNO mengingatkan Nazri bahawa beliau bukan lagi berada di bumi AS sebaliknya sudah berada di Malaysia.
Akmal berkata, beliau tidak menghalang jika Nazri yang juga bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu mahu ‘menjilat’ Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mencari makan tetapi jangan samakan dengan beliau.
“Mungkin kamu dah lupa, yang kamu bukan berada di Amerika lagi sebab kontrak tidak disambung lagi.
“Saya nak ingatkan bahawa kamu kini berada di Malaysia yang bangsa majoritinya adalah bangsa Melayu dan agama Islam adalah agama Persekutuan
“Maka tanggungjawab kami Pemuda UMNO menjaganya dan mempertahankannya.

“Maaf Dato Seri, kami Pemuda (UMNO) bukan penjilat mencari makan. Kami ada tanggungjawab untuk menjaga agama bangsa daripada sibuk menjilat untuk kepentingan diri. Jika kamu nak menjilat, silakan.
Jangan samakan kamu dengan kami. Mana tahu lepas ini boleh dapat jadi duta ke Myanmar pula,” bidas ADUN Merlimau itu menerusi Facebooknya hari ini.
Kenyataan itu sebagai reaksi kepada kenyataan Nazri sepertimana dilapor sebuah portal berita, yang menyifatkan Pemuda UMNO hari ini hanya mewakili sebahagian kecil suara orang Melayu, justeru boleh diabaikan sahaja.
Nazri membuat kenyataan itu ketika ditanya pandangan berkenaan Akmal yang sering mengambil pendirian lebih keras berbanding Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dalam beberapa isu yang menjejaskan hubungan dengan parti dalam Kerajaan Perpaduan, terutama DAP.
Akmal berkata, jika suara beliau dianggap mewakili sebahagian kecil suara orang Melayu, apakah bermakna bekas menteri Kabinet itu mewakili sebahagian besar suara orang Melayu.
Sementara itu, Exco Pemuda UMNO Malaysia, Fikhran Hamshi Mohamad Fatmi pula menggesa Nazri berundur daripada dunia politik sekiranya gagal membawa suara rakyat dan lebih mengutamakan tembolok sendiri.
Beliau berkata, rakyat hari ini bukan lagi mudah diperbodohkan sebaliknya mereka mampu menilai sendiri apa tujuan sebenar di sebalik kenyataan Nazri.
“Saya menyeru, menasihati dan menegaskan agar beliau berhenti bermain politik untuk kepentingan peribadi dan kembali kepada perjuangan politik yang sebenar parti keramat UMNO, iaitu membawa suara rakyat dan akar umbi agar rakyat kembali mempercayai parti UMNO pada PRU-16.
“Sekiranya Datuk Seri Nazri Aziz tidak lagi mampu membawa suara rakyat dan masih mengutamakan kepentingan peribadi, maka saya rasa sudah tiba masanya untuk beliau berundur daripada dunia politik,” katanya. – Edisi 9

