GOLONGAN Gen-Z, iaitu mereka yang berusia 18 hingga 27 tahun cenderung menjadikan media sosial terutama TikTok sebagai sumber inspirasi mereka untuk memilih lokasi percutian.
Berdasarkan tinjauan oleh Agoda dalam kalangan pelancongan Gen-Z, hampir satu pertiga atau 30 peratus daripada mereka memilih platform itu sebagai rujukan.
Menurut kenyataan Agoda, selain daripada TikTok, golongan terbabit juga merujuk kepada Agoda iaitu sebanyak 15 peratus manakala cadangan daripada rakan atau keluarga menyumbang 14 peratus.
Bagaimanapun, bagi generasi Boomer (berusia 44 hingga 59 tahun), mereka lebih bergantung pada carian Google iaitu sebanyak 23 peratus sebagai sumber inspirasi utama mereka.
“Tinjauan ini juga menunjukkan bahawa satu pertiga (34 peratus) daripada pelancong Gen-Z Malaysia lebih suka bercuti bersama pasangan, manakala hampir suku (24 peratus) lebih gemar bercuti bersama keluarga, dan 19 peratus pula bercuti berkumpulan bersama rakan-rakan,” kata kenyataan itu hari ini.
Sementara itu, pantai dan pulau pula menjadi destinasi carian tertinggi pelancong Gen-Z, iaitu sebanyak 30 peratus diikuti oleh pengembaraan bandar (21 peratus).
Sementara itu tapak budaya dan sejarah, dan destinasi beriklim sejuk, masing-masing tempat ketiga dengan 11 peratus.
Pengarah Negara untuk Malaysia dan Brunei Agoda, Fabian Teja berkata, pelancong Gen-Z adalah generasi yang tidak boleh dipisahkan daripada teknologi.
Katanya, sebagai syarikat yang dipacu oleh teknologi, Agoda telah berkembang dan bukan sahaja menawarkan penginapan malahan tiket penerbangan, aktiviti liburan, dan perkhidmatan perjalanan lain.
“Ini menjadikan Agoda satu pusat sehenti untuk memudahkan perancangan percutian, dan memastikan semua proses tempahan berjalan lancar dengan harga berpatutan bagi setiap pelancong, tanpa mengira peringkat umur,” katanya.
Tambah beliau, Agoda menawarkan lebih dari 5 juta tempat penginapan di seluruh dunia, tiket penerbangan dan aktiviti liburan.
Ini membolehkan pelancong Gen-Z meneroka destinasi pilihan mereka sama ada di pantai yang tenang, bandar yang meriah atau destinasi beriklim sejuk yang mereka idamkan.
Para pelancong boleh mendapatkan tawaran hebat dan merancang percutian mereka dengan melayari agoda.com atau memuat turun aplikasi Agoda, katanya. – Edisi 9

