
DI ambang tahun baharu 2025 menyaksikan tragedi di konsert muzik elektronik Pinkfish apabila empat penonton terdiri kalangan remaja kehilangan nyawa akibat penyalahgunaan dadah.
Selepas dua bulan insiden tersebut berlaku, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan tiga daripadanya meninggal dunia akibat pengambilan dadah jenis perangsang.
Manakala kematian seorang lagi penonton masih belum dapat dipastikan puncanya, namun beliau berkata, siasatan masih diteruskan dan sehingga kini 53 individu telah dipanggil untuk memberikan keterangan.
Ekoran insiden tersebut, mencetuskan perdebatan hangat mengenai keselamatan dalam penganjuran acara hiburan berskala besar dan keperluan memperketat undang-undang terutama berkaitan dadah.
Isunya sekarang mengapa penganjur konsert seolah-olah mengabaikan bertanggungjawab memastikan keselamatan pengunjung, termasuk larangan ke atas bahan terlarang seperti dadah dan alkohol tidak dipatuhi.
Insiden di konsert Pinkfish jelas menunjukkan kelemahan penganjur dalam pengawasan sehingga membolehkan bahan terlarang diseludup masuk ke dalam kawasan acara.

Jawatankuasa Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (PUSPAL) telah menetapkan garis panduan ketat bagi penganjuran acara, termasuk larangan keras terhadap dadah dan minuman keras.
Penganjur diwajibkan memastikan pematuhan kepada peraturan ini, namun insiden di Pinkfish menunjukkan bahawa langkah sedia ada mungkin tidak mencukupi.
Peraturan ketat seperti pemeriksaan pengunjung, pengawasan rapi oleh pasukan keselamatan, dan penalti berat bagi pelanggaran telah ditetapkan, tetapi penguatkuasaan yang lebih berkesan diperlukan.
Sebagai respons kepada insiden ini, beberapa cadangan telah dikemukakan untuk meningkatkan keselamatan acara hiburan.
Antaranya adalah ujian urin secara rawak ke atas pengunjung yang disyaki berada di bawah pengaruh dadah, penggunaan teknologi pengesan dadah di pintu masuk termasuk pengimbas anjing pengesan, serta peningkatan bilangan petugas keselamatan dan pegawai perubatan di lokasi acara.
Selain itu, pendidikan dan kempen kesedaran mengenai bahaya dadah dalam kalangan pengunjung juga perlu dipergiatkan.
Penganjuran konsert atau acara besar memerlukan perancangan rapi, terutama dari segi keselamatan.

Menurut peguam Farhanna Roslan dari Wan Nurliyana & Farhanna Advocates & Solicitors, dalam kes seperti tragedi konsert Pinkfish, penganjur boleh dipertanggungjawabkan secara sivil dan jenayah sekiranya gagal mencegah penggunaan dadah.
Katanya, mereka boleh disabitkan di bawah Seksyen 13 Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana membenarkan premis digunakan untuk aktiviti haram.
“Pihak penganjur boleh dipertanggungjawabkan secara undang-undang sekiranya terbukti mereka gagal melaksanakan kawalan keselamatan yang mencukupi,” katanya kepada Edisi 9 hari ini.
Pada masa yang sama, beliau berkata, penganjur juga boleh dikenakan tindakan undang-undang sivil oleh waris mangsa akibat kecuaian dalam memastikan keselamatan acara.
Penasihat HSE Global Synergy dan Presiden CONTRA, Zariman Zainuddin pula berkata, isu keselamatan tidak boleh dipandang ringan kerana ia melibatkan ribuan pengunjung dalam satu lokasi yang sama.
Beliau berkata, jika tidak dikawal dengan baik, keadaan ini boleh mengundang risiko kecederaan atau insiden yang tidak diingini.

“Keselamatan di konsert bukan sahaja tanggungjawab pihak penganjur, tetapi juga memerlukan kerjasama daripada pelbagai pihak termasuk penonton, petugas keselamatan, dan pihak berkuasa,” katanya.
Beliau berkata, dengan perancangan rapi dan pematuhan kepada langkah-langkah keselamatan yang ditetapkan, risiko insiden boleh diminimumkan, sekali gus menjadikan pengalaman menghadiri konsert lebih selamat dan menyeronokkan.
Sebagai langkah pencegahan, katanya, pihak penganjur disarankan membuat audit keselamatan sebelum acara berlangsung dan memastikan semua aspek yang disebutkan di atas berada dalam keadaan terkawal.
Adakah penganjuran konsert perlu dihentikan?
Ekoran daripada insiden tersebut, ada pandangan yang mahukan segala konsert terutama kalangan artis dari luar negara dihentikan bagi mengelak perkara negatif terjadi.
Namun pandangan tersebut sudah tentu sukar diterima oleh sesetengah pihak yang melihat penganjuran hiburan seperti itu bagaikan satu keperluan, terutama bagi golongan muda.
Menanggapi pandangan itu, seorang remaja, Nur Aleya Arisha Abdul Latif, dari Damansara, Selangor berkata, perdebatan mengenai penganjuran konsert perlu dilihat dalam konteks keseimbangan antara keperluan sosial, hiburan, dan keselamatan awam.

“Bagi Aleya konsert agak penting bagi remaja dari segi menyalurkan tekanan ke arah yang lebih sihat dan selamat. Ia juga salah satu cara hiburan yang tidak menyalahi undang-undang.
“Kebanyakan remaja sekarang susah nak luahkan perasaan dorang dengan ibu bapa kerana tidak semua ibu bapa memahami anak-anak khususnya yang remaja.
Jadi dengan dapat pergi menonton konsert dapat meluahkan rasa yang dah lama terpendam dalam hati dan pada Aleya tak salah pun selagi kita jaga diri dan keselamatan. Konsert lebih baik dari bersosial di kelab atau parti liar,” ujarnya.
Bagi kalangan ibu bapa, rata-rata berpendapat bahawa bukan konsert yang salah, tetapi bagaimana langkah keselamatan dan kawalan dilaksanakan yang menjadi faktor utama.

Itu pandangan pegawai bank, Faradilla Kamal bahawa konsert boleh menjadi ruang penting untuk ekspresi diri dan pengalaman sosial, namun ia juga perlu dipantau dengan ketat bagi memastikan keselamatan pengunjung.
“Sebagai seorang ibu kepada dua remaja, saya secara peribadi tidak menggalakkan anak-anak saya menghadiri konsert sebegini.
“Namun, saya faham bahawa hiburan adalah sebahagian daripada kehidupan, terutama bagi golongan muda,” ujar ibu yang mempunyai tiga anak remaja berusia 17, 15 dan 10 tahun.
Kesimpulan
Tragedi di konsert Pinkfish menjadi peringatan bahawa kawalan keselamatan dalam acara hiburan perlu diperketat.
Walaupun PUSPAL telah menetapkan garis panduan ketat, penguatkuasaan yang lebih tegas serta pendekatan inovatif seperti ujian urin rawak dan penggunaan teknologi pengesan perlu dipertimbangkan.
Pihak penganjur dan pihak berkuasa harus bekerjasama erat bagi memastikan acara hiburan tidak lagi menjadi medan penyalahgunaan dadah, sebaliknya kekal sebagai platform hiburan yang selamat bagi semua. – Edisi 9

