SULTAN Selangor, Sultan Sharifuddin Abdul Aziz Shah menzahirkan pendirian tegas bahawa baginda tidak bersetuju dengan cadangan mewujudkan garis panduan kepada umat Islam yang menghadiri majlis perayaan orang bukan Islam, khususnya di negeri Selangor.
Sebagai Ketua Agama Islam di negeri Selangor, baginda berpandangan cadangan garis panduan itu dibuat pada waktu yang tidak bersesuaian iti pada ketika rakyat sedang giat mengeratkan amalan muhibah di kalangan masyarakat pelbagai kaum dan agama demi mengukuhkan perpaduan nasional.
“Polemik yang tercetus ini telah sedikit sebanyak menimbulkan keresahan kepada masyarakat dan ini pastinya akan menjejaskan keharmonian yang telah sedia terjalin,” titah baginda menerusi satu kenyataan hari ini.
Sultan Sharafuddin bertitah, Islam menerusi al-Quran dan Sunnah adalah garis panduan terbaik sejak zaman berzaman dan diperkuat dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah umat Islam di Malaysia.
Justeru, tegas baginda, isu terpesongnya akidah umat Islam susulan amalan berkenaan tidak timbul kerana baginda percaya umat Islam kini tahu tentang batas-batas akidah serta tidak mudah terpengaruh dan bijak menilai baik buruk sesuatu tindakan.
Baginda mengingatkan bahawa sebagai sebuah negara majmuk dengan rakyatnya menganuti pelbagai agama dan kepercayaan, toleransi dalam beragama seharusnya tidak dikompromi.
“Dalam masa sama, setiap rakyat perlu menghormati dan memperakui bahawa Islam adalah agama persekutuan sepertimana yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia,” titah baginda.
Bagaimanapun, Sultan Selangor menasihatkan umat Islam khususnya di negeri itu agar sentiasa berusaha untuk terus memperkukuh akidah dan iman masing-masing dengan mendalami ilmu agama dan melakukan segala suruhan Allah Subhanahu Wata’ala serta meninggalkan segala larangan-Nya.
Titah Baginda, apabila setiap umat Islam mencapai tahap akidah yang teguh dan kesempurnaan iman hakiki, serta memantapkan keyakinan kepada Allah Subhanahu Wata’ala, maka kita semua tidak akan mudah terpesong atau terpengaruh dengan anasir-anasir luar. – Edisi 9

