MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said menjelaskan, pendiriannya berhubung gag order (perintah larangan bersuara) berhubung Titah Adendum tetap tidak berubah.
Menurut beliau, apa yang dikatakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang berterima kasih kepadanya kerana “tolong koordisasi gag order” adalah berkaitan larangan membahaskan isu tersebut di Dewan Rakyat.
Beliau tetap berpendiria , permohonan perintah larangan bersuara oleh Jabatan Peguam Negara (AGC) tidak sepatutnya dibuat kerana perkara Titah Adendum telah pun menjadi pengetahuan umum.
“Saya juga telah menghubungi YAB Datuk Seri Zahid Hamidi dan beliau menjelaskan bahawa kenyataannya merujuk kepada pendirian kami, Ahli-ahli Parlimen blok Barisan Nasional berhubung isu ini dalam mematuhi Peraturan Mesyuarat 36(2) – Ahli-ahli tidak boleh mengucapkan perkara yang sedang diadili Mahkamah (subjudis) dengan cara yang mungkin pada hemat Pengerusi merosakkan kepentingan pihak-pihak di dalam kes tersebut.
“Keputusan tersebut berkaitan larangan membahaskan dan membincangkan perkara berkaitan Titah Adendum dalam Dewan Rakyat.
“Oleh itu, kenyataan beliau perlu difahami dalam konteks tersebut dan bukannya sebagai pendirian Kerajaan terhadap gag order secara umum,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Selasa lalu, media melaporkan bahawa Zahid yang juga Presiden UMNO menghargai tindakan Azalina yang membantu mengkoordinasi perintah larangan mengulas berkaitan titah adendum terkait Datuk Seri Najib Razak.
“Ini masanya saya ulas, itu usaha yang dicadangkan oleh Jabatan Peguam Negara dan saya tentunya berterima kasih kepada menteri undang-undang Azalina yang mengkoordinasikannya dengan Pejabat Peguam Negara dalam hal ini,” katanya seperti dilapor media.
Azalina yang juga Ketua Penerangan UMNO, sebelum ini dilaporkan berkata, perintah larangan itu tidak sepatutnya dilakukan kerana isu tersebut akan dibincangkan semula di Dewan Rakyat ketika persidangan pada bulan Februari.
Pada 3 Februari, peguam bela Najib, Muhammad Farhan Muhammad Shafee mengesahkan bahawa AGC telah memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi mendapatkan perintah tersebut.
Gag order itu bertujuan menghalang mana-mana pihak, termasuk media, daripada menerbitkan atau menyebarkan sebarang bentuk komunikasi – sama ada dalam cetakan, elektronik, digital, atau media sosial.
Ia juga bertujuan melarang sebarang kenyataan, komen, atau perbincangan yang boleh menimbulkan keraguan, mempersoalkan, mencabar, atau menghina kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong. – Edisi 9

