Friday, June 5, 2026

STR Fasa 1 disalur mulai esok, babitkan RM2.3 bilion – MOF

Mesti Baca

SUMBANGAN Tunai Rahmah (STR) Fasa 1 bagi tahun ini akan disalurkan kepada mereka yang layak mulai esok, kata Kementerian Kewangan (MOF) hari ini.

MOF berkata, sebanyak RM2.3 bilion diperuntukkan bagi sumbangan tersebut iaitu RM0.2 bilion lebih tinggi berbanding tahun lalu.

Katanya, pengagihan STR itu susulan penyaluran Sumbangan Asas Rahmah (SARA) minggu lalu yang mana kedua-dua sumbangan itu membabitkan 9 juta penerima atau 60 peratus penduduk dewasa.

“Bagi STR dan SARA 2025, kerajaan telah melonjakkan kadar maksimum untuk isi rumah kepada RM4,600 tahun ini iaitu kenaikan hampir 25 peratus berbanding RM3,700 tahun lalu.

“Kadar minimum untuk golongan bujang juga naik kepada RM600 daripada RM500 tahun lalu, iaitu kenaikan sebanyak 20 peratus,” kata MOF dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kenyataan itu berkata, peningkatan peruntukan bagi STR Fasa 1 yang jauh melangkaui kadar inflasi negara ini mencerminkan tekad kerajaan untuk memastikan kebajikan sebilangan besar rakyat kian bertambah baik meskipun berlakunya peningkatan kos sara hidup.

Sumber: Kementerian Kewangan

“Kendatipun peningkatan kos sara hidup adalah fenomena yang melanda seluruh dunia, besarlah harapan Kerajaan MADANI agar peningkatan sumbangan SARA dan STR saban tahun ini dapat membantu rakyat menggapai kehidupan yang lebih berdarjat,”kata beliau yang juga Menteri Kewangan.

MOF berkata, pembayaran STR Fasa 1 akan disalur secara berperingkat kepada penerima yang berdaftar dalam pangkalan data STR melalui pengkreditan ke dalam akaun bank masing-masing.

Selain itu, ia juga disalur secara tunai melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) secara berperingkat mengikut kategori kelayakan STR.

Katanya, permohonan baharu dan kemas kini bagi STR akan dibuka sepanjang tahun.

“Sekiranya nama pemohon tiada dalam pangkalan data STR, mereka perlu membuat permohonan di Portal Rasmi STR di https://bantuantunai.hasil.gov.my bagi membolehkan proses verifikasi mengikut kategori kelayakan STR dimuktamadkan,”katanya. – Edisi 9

Terkini

Hektar HEIT cadang ambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East

HEKTAR REIT bercadang mengambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East (KYSKLEIS) pada nilai RM125 juta bagi memperkukuhkan aliran pendapatan...

Lagi Artikel Berkaitan