DATUK Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau bersama UMNO dan Barisan Nasional (BN) yakin bahawa Datuk Seri Mohd Najib Razak berada di pihak yang benar.
Timbalan Perdana Menteri itu berkata, keyakinan beliau itu dengan penuh penghormatan terhadap kedaulatan undang-undang dan tanpa sebarang niat mempertikaikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
“Keputusan ini bukanlah satu pengesahan bahawa beliau telah terbukti bersalah, tetapi adalah ruang dan peluang Najib untuk membela diri dan membuktikan diri beliau tidak bersalah.
“Mewakili UMNO dan Barisan Nasional juga sebagai seorang sahabat, kami yakin Najib berada di pihak yang benar.
“Kami akan terus memberikan sokongan untuk memastikan beliau mendapat keadilan,” kata beliau dalam satu pernyataan menerusi media sosial hari ini.
Zahid yang juga Presiden UMNO mengulas keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang memutuskan wujud prima facie terhadap 25 pertuduhan penyelewengan dana 1MDB oleh Najib.
Sehubungan itu Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah telah mengarahkan bekas Perdana Menteri iti untuk membela diri.
Zahid berkata, UMNO dan BN akan sentiasa mendoakan agar pelaku sebenar di sebalik penyelewengan 1MDB dibawa ke muka pengadilan.
Pada masa yang sama mereka mengharapkan agar Najib diberikan keadilan sewajarnya. – Edisi 9

