Thursday, June 4, 2026

‘Bike Week’ Team Selangor bina semangat patriotisme

Mesti Baca

Editor Edisi 9
Editor Edisi 9
Editor Edisi 9

TEAM Selangor telah menganjurkan program ‘Bike Week’ dalam usaha membina semangat patriotisme sempena bulan Kemerdekaan 31 Ogos dan Hari Malaysia yang baru lalu.

Bertempat di Tanjung Sepat, Kuala Langat, program konvoi bermotosikal itu disertai lebih 100 peserta dari pelbagai daerah di negeri ini.

Ketua Unit Komuniti Team Selangor, Faris Afiq Ikhwan Saifullah berkata, walaupun aktiviti tersebut bukanlah baharu, namun sambutan yang diterima begitu menggalakkan.

“Selain aktiviti yang menyeronokkan bersama rakan dan ahli keluarga, program kali ini mempunyai objektif yang khusus, iaitu menyemarakkan semangat patriotisme dalam diri masing-masing bersempena tarikh yang amat penting untuk negara kita ini,” katanya dalam kenyataan baru-baru ini.

Acara kemuncak program Bike Week Team Selangor iaitu makan nasi ambeng beramai-ramai.

Beliau berkata, program tersebut turut disertai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lembah Jaya, Syed Ahmad Abdul Rahman atau Altimet yang turut bersama peserta dari kawasannya berkonvoi sejauh 100 kilometer (KM).

Antara program yang diatur sempena Bike Week ialah program menanam anak pokok di Kebun Komuniti Kampung Ladang, pembersihan Pantai Batu Laut,  aktiviti rewang kemuncaknya  jamuan nasi ambeng dan bubur sumsum. 

“Penduduk Tanjung Sepat kebanyakannya terdiri daripada keturunan Jawa, kerana itulah kami memilih untuk mengetengahkan dua juadah ini kepada para peserta agar mereka sama-sama dapat menghargai tinggalan tradisi masyarakat Selangor yang rencam dan terdiri daripada pelbagai kelompok. 

“Lebih menarik, ada dalam kalangan peserta mengaku berketurunan Jawa namun kali pertama mempelajari secara dekat kaedah penyediaannya juadah tradisional itu,” katanya.

Masyarakat Kampung Ladang, Tanjung Sepat bergotong-royong menyediakan nasi ambeng.

Beliau berkata, melihat sambutan para peserta dan kejayaan merealisasikan objektif program, terutamanya dalam menyuntik semangat patriotisme di kalangan mereka, program dijangka akan diteruskan pada masa akan datang. 

“Tidak dapat dinafikan penganjuran Bike Week ini amat meninggalkan kesan, bukan sahaja kepada peserta, malah kepada semua ahli penganjur dari Team Selangor sendiri,” katanya.

Sementara itu, Ketua Kampung Ladang, Saluah Mundagir berkata, pihaknya turut menyambut kedatangan konvoi dengan bubur sumsum, iaitu manisan ringkas masyarakat Jawa di negeri ini.

Program Bike Week Team Selangor 2024 sempena Hari Malaysia ini turut dijayakan dengan kerjasama MPKL Zon 23, JPKK Ladang Batu, dan Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN Tanjung Sepat, Selangor.  – Edisi 9

Terkini

Hektar HEIT cadang ambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East

HEKTAR REIT bercadang mengambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East (KYSKLEIS) pada nilai RM125 juta bagi memperkukuhkan aliran pendapatan...

Lagi Artikel Berkaitan