Thursday, June 4, 2026

Malaysia berpotensi jadi hub pasaran daging lembu halal Uruguay

Mesti Baca

MALAYSIA berpotensi menjadi hub pasaran daging lembu halal dari Uruguay ke rantau Asia Tenggara, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, Uruguay mengeluarkan kira-kira 600,000 tan daging lembu setahun, 150,000 tan digunakan dalam pasaran domestik, dan 450,000 tan dieksport.

Katanya, Uruguay juga mengeksport 75 peratus daging lembunya ke luar negara, kebanyakannya ke negara China, manakala hanya 25 peratus dihasilkan untuk kegunaan domestik.

Menurutnya, produk tersebut dieksport ke lebih 100 negara, menyumbang 25 peratus daripada eksport Uruguay.

“Justeru, saya melihat potensi besar untuk Malaysia meneroka pasaran daging dan tenusu Uruguay ini bagi memastikan sumber bekalan daging halal sentiasa stabil dan seterusnya memangkin agenda keterjaminan makanan negara.

Ahmad Zahid Hamidi bersama Fernando Mattos dan Veleria Csukasi Cabrera (kiri) di Putrajaya.

“Pada masa yang sama, Malaysia juga dapat menjadi hub utama untuk aktiviti pemprosesan, penyimpanan, pengendalian, dan pengangkutan agar ia dapat berpusat di Malaysia sebelum menembusi pasaran daging halal di luar negara, khususnya di peringkat ASEAN,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan Menteri Penternakan, Pertanian dan Perikanan Uruguay, Fernando Mattos di pejabatnya di Putrajaya, semalam

Menurut Zahid, dalam pertemuan itu kedua-dua pemimpin membincangkan tentang perkembangan hubungan perdagangan terutama tentang pasaran daging halal dunia.

Perjumpaan tersebut adalah susulan daripada pertemuan Zahid bersama Duta Uruguay ke Malaysia, Veleria Csukasi Cabrera Januari lalu bagi menyelaras pengimportan daging halal Uruguay di dalam negara.

Zahid berkata, kerajaan Uruguay melalui The Institute of National Meat of Uruguay (INAC) telah menyatakan hasrat dan berminat untuk meneruskan kerjasama bersama Malaysia dalam pasaran daging halal dan produk tenusu.

Mengenai pengimportan daging halal dari Uruguay, Zahid berkata, kerajaan Malaysia melalui Kementerian Luar Negeri, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan; Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Halal Development Corporation (HDC) telah memperincikan beberapa pendekatan bagi mencapai hasrat tersebut.

Kata beliau, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia dan JAKIM sendiri telah mengadakan lawatan serta audit halal ke 21 loji sembelihan ruminan di Uruguay sejak April lalu dan sedang melalui fasa akhir sebelum pusat-pusat penyembelihan ini diberikan status halal secara rasmi.

Malahan katanta, kerajaan Uruguay sendiri memberi jaminan melalui perundangan agar pematuhan standard halal Malaysia akan dipatuhi oleh The Uruguay Islamic Centre (UIC) yang menjadi badan pensijilan halal di negara berkenaan.

“Langkah ini dipercayai akan membuka pasaran yang lebih luas kepada Uruguay di negara ini.

“Saya juga percaya, peluang berkerjasama dengan pembekal utama daging dunia seperti Uruguay ini akan dapat mempelbagaikan lagi sumber daging halal dalam negara dan mengelak kepada kebergantungan kepada sesebuah negara sahaja

“Saya percaya bahawa Malaysia perlu kehadapan dalam mempelopori industri halal dunia dan kerjasama dengan negara-negara luar seperti Uruguay hari ini perlu dilaksanakan demi pemerkasaan ekosistem halal negara,” katanya.

Di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12), industri halal telah dikenal pasti sebagai sektor strategik dan berimpak tinggi yang akan meningkatkan kapasiti dan keupayaan Malaysia dalam meningkatkan pembangunan tenaga kerja, memacu pembangunan industri, meningkatkan daya saing produk seterusnya menjadikan Malaysia sebagai hab halal global.

Malaysia juga, katanya, akan mempertimbangkan untuk menghantar anak-anak Malaysia yang dilatih oleh JAKIM dan HDC menjadi Penyelia Jaminan Proses Halal serta pakar sembelihan ke pusat-pusat sembelihan di luar negara yang diiktiraf oleh JAKIM.

Jelas beliau, langkah itu dapat meningkatkan keyakinan terhadap produk sembelihan berstatus Halal Malaysia tanpa was-was syarak. – Edisi 9

Terkini

Hektar HEIT cadang ambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East

HEKTAR REIT bercadang mengambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East (KYSKLEIS) pada nilai RM125 juta bagi memperkukuhkan aliran pendapatan...

Lagi Artikel Berkaitan