SKUAD bimbingan Kim Pan Gon semakin tempang mengharungi baki dua aksi Kumpulan D Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 apabila seorang lagi pemain harapan terpaksa dipinggilkan akibat kecederaan.
Setelah kehilangan beberapa ayam tambatan terutama Faisal Halim, Arif Aiman Hanafi dan Azam Azmi Murad, ketua jurulatih dari Korea Selatan itu terpaksa pula melepaskan penyerang, Shafiq Ahmad.
Pemain Johor Darul Ta’azim (JDT) yang dipinjamkan kepada Kedah Darul Aman FC (KDA) itu disahkan mengalami kecederaan dan tidak dapat bersama skuad Harimau Malaya menentang Republik Kyrgyz pada 6 Jun dan Chinese Taipei pada 11 Jun ini.
Ekoran itu, Pan Gon telah memanggil pemain tengah Kuala Lumpur City FC, Zhafri Yahya yang sebelum ini berada dalam senarai menunggu untuk melaporkan diri ke kem latihan kebangsaan bermula hari ini.
“Zhafri, 30, akan menggantikan tempat penyerang Kedah Darul Aman FC, Syafiq Ahmad yang tidak dapat menyertai kem latihan pusat kali ini selepas disahkan mengalami kecederaan.
“Semoga Syafiq cepat kembali sembuh dan seterusnya dapat dipanggil lagi pada kem latihan pusat Harimau Malaya yang akan datang,” kata Pan Gon dalam satu kenyataan hari ini.
Shafiq kembali dipanggil menjalani latihan selepas lebih tiga tahun tidak menyarung jersi kebangsaan.
Bagaimanapun aksi beliau bersama Sang Kenari musim ini membuka mata Pan Gon untuk kembali memanggilnya bagi menperkuatkan barisan penyerang.
Dia muncul penjaring sulung Liga Super dan meledak gol terpantas Liga Malaysia setakat ini selepas membantu KDA FC menewaskan juara MFL Challenge Cup 2023 PDRM FC 1-0 pada 12 Mei lalu.
Dia meledakkan gol pertama itu selepas 33 saat perlawanan bermula sebelum hujan lebat yang turun hampir sepanjang aksi menjejaskan mutu permainan kedua-dua pasukan. – Edisi 9

