Friday, July 24, 2026

Kilang proses ‘e-waste’ didalangi warga asing diserbu, 33 ditahan

Mesti Baca

SEBUAH kilang memproses sisa elektronik atau e-waste yang didalangi warga asing diserbu oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam satu operasi di Klang, Selangor pada Khamis.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, operasi itu bermula 1.30 tengah hari melibatkan sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Pencegahan ATIPSOM & AMLA dengan kerjasama Bahagian Penguatkuasaan, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.

Menurut beliau, operasi dijalankan berdasarkan aduan awam berkaitan kilang yang disyaki beroperasi secara haram dan turut menggajikan warga asing dengan kemungkinan terdapatnya elemen eksploitasi pemerdagangan orang.

Beliau berkata, hasil serbuan tersebut seramai 35 warga asing telah diperiksa dan menahan seramai 33 warganegara asing pelbagai negara.

Katanya, mereka terdiri daripada dua lelaki warga China, 27 lelaki Myanmar, dua lelaki Kemboja, seorang wanita Myanmar dan seorang wanita warganegara Kemboja.

“Kesemua yang ditahan berusia dalam lingkungan umur 19 hingga 40 tahun yang bekerja dan tinggal di ruang kilang yang dijadikan asrama sejak empat bulan lalu.

“Kesemua warganegara asing ini tidak memiliki dokumen perjalanan sewaktu ditahan dipercayai disimpan oleh pengusaha kilang yang disyaki merupakan warganegara China,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, modus operandi kilang tersebut adalah memproses sisa e-waste yang melibatkan proses peleraian dan pengasingan bahan berbahaya dengan logam berharga.

Katanya, berdasarkan invois yang ditemui, sisa e-waste yang diterima hanya dalam jumlah kapasiti tertentu yang akan dipastikan boleh diproses dan disiapkan dalam tempoh seminggu.

Ini kerana jelas beliau, proses tersebut hanya boleh diselia oleh pekerja warganegara China yang berkemahiran.

“Bagi mengaburi aktiviti ini, warganegara China tersebut akan beralih ke kilang-kilang lain yang menjalankan aktiviti sama sebelum keluar meninggalkan negara ini.

“Hasil keuntungan dipercayai boleh mencecah sekitar RM300,000 hingga RM500,000 setelah barangan siap dikitar semula,” katanya.

Ruslin berkata, berdasarkan risikan dan maklumat yang diperoleh, syarikat tersebut disyaki didaftarkan atas nama warga tempatan tetapi diuruskan secara proksi oleh warga China.

Katanya, JIM meneruskan usaha mengesan pemilik kilang berdasarkan
nombor pasport yang diperolehi termasuk pemilik lot tanah tersebut.

Kes disiasat di bawah Akta Imigresen, Akta Pasport termasuk Akta
Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007
(Akta 670). – Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan