TAMAN Awam Kuala Kerteh seluas 9 hektar di muara Sungai Kerteh, Kemaman mampu menampung sehingga 20,000 pengunjung khususnya kalangan masyarakat setempat.
Pembangunan taman awam tersebut melibatkan peruntukan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berjumlah RM15.3 juta dengan tempoh pelaksanaan selama 99 minggu dan telah siap pada 27 Oktober lalu.
Berkonsepkan Eksplorasi Visual, Taman Awam Kuala Kerteh dibangunkan sebagai pusat aktiviti eksplorasi keindahan pemandangan semula jadi dan keunikan budaya masyarakat setempat.
Rekaannya mengambil kira elemen kualiti visual pemandangan sekitar dalam pembentukan ruang landskap.
Manakala komponen pembangunannya terdiri daripada dewan terbuka, menara pandang, dua pintu masuk utama, plaza, alatan permainan kanak-kanak, kawasan parkir kenderaan awam, tandas, laluan pejalan kaki dan jambatan, serta ruang-ruang hijau terbuka untuk kemudahan orang ramai berkelah.
Program Pembangunan Taman Awam merupakan satu inisiatif KPKT melalui Jabatan Landskap Negara (JLN) untuk menyediakan ruang rekreasi kepada masyarakat awam di setiap bandar.
Taman Awam Kuala Kerteh merupakan taman awam keempat dibina di Terengganu, selepas Taman Awam Batu Burok, Taman Awam Lagun Kuala Ibai di Kuala Terengganu dan Taman Awam Teluk Gadung di Dungun.
Pada ketika ini, KPKT menerusi JLN sedang membangunkan Projek Landskap Perbandaran Dungun yang bernilai RM30 juta dan juga Projek Pemuliharaan Kunang-kunang Sungai Yak Yah, Kemaman dengan jumlah peruntukan sebanyak RM5.31 juta.
Secara keseluruhannya, jumlah peruntukan yang disalurkan KPKT menerusi JLN untuk pelaksanaan projek landskap dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) di Terengganu sahaja berjumlah RM56.81 juta.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming ketika merasmikan Taman Awam Kuala Kerteh berkata, komitmen pembangunan landskap yang dilaksanakan oleh KPKT menerusi JLN ini merupakan cerminan kepada usaha-usaha berterusan kerajaan untuk mewujudkan kawasan persekitaran kehidupan yang kondusif untuk masyarakat awam.
“Persepsi tentang landskap yang hanya bersifat estetik semata-mata dalam kalangan masyarakat perlu diubah kerana landskap dilihat sebagai satu keperluan pada masa kini,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut.
Beliau berkata, KPKT sentiasa fokus kepada usaha memperkasakan daya huni bandar (liveability) yang menjadi satu instrumen penting dalam menentukan keselesaan persekitaran kehidupan.
Katanya, peningkatan jumlah penduduk yang semakin tinggi terutamanya di kawasan perbandaran telah meningkatkan keperluan ruang hijau sebagai medium interaksi sosial, terapi serta ketenangan (theraphy and healing) dan untuk tujuan rekreasi.
“Justeru, pembinaan Taman Awam Kuala Kerteh ini diharap dapat dimanfaatkan dan meningkatkan kesedaran kepada masyarakat tentang tanggungjawab dalam menjaga persekitaran alam semulajadi dan kemudahan awam yang disediakan oleh kerajaan,” katanya. – Edisi 9

