KEMENTERIAN Luar Negeri (KLN) berpandangan tiada keperluan bagi kerja-kerja pemetaan semula persempadanan perairan Singapura dan Johor di Selat Tebrau perlu dilaksanakan.
Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Mohamad Alamin berkata, ini memandangkan persempadanan perairan Malaysia-Singapura di Selat Tebrau telah pun dimuktamadkan dan masih lagi terpakai sehingga kini.
Katanya, kedua-dua negara telah memeterai perjanjian Agreement Between the Government of Malaysia and the Government of the Republic of Singapore to Delimit Precisely the Territorial Waters Boundary In Accordance With the Straits Settlement and Johore Territorial Waters Agreement 1927 pada 7 Ogos 1995.
“Perjanjian ini merupakan satu-satunya perjanjian persempadanan perairan di antara kedua-dua negara di mana sebelum 1995, sempadan perairan Malaysia-Singapura di Selat Tebrau yang juga dikenali sebagai Selat Johor.
“Ia adalah berdasarkan pertengahan alur air dalam sepertimana yang telah diperuntukkan dalam Perjanjian Perairan Negeri-negeri Selat dan Kerajaan Johor bertarikh 19 Oktober 1927 atau lebih dikenali sebagai The Straits Settlements and Johore Territorial Waters Agreement 1927,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi jawapan lisan yang disiarkan di laman sesawang Parlimen, hari ini.
Mohamad menjawab pertanyaan Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) yang meminta pertimbangan kerajaan tuntuk melaksanakan pemetaan semula persempadanan perairan Singapura dan Johor terutama di perairan Selat Tebrau.
Katanya, ini susulan insiden nelayan tempatan dihalau pihak berkuasa Singapura ketika memasang jaring udang di Kawasan Pasir Laba.
Sementara itu Mohamad berkata, Malaysia dan Singapura masih mempunyai segmen yang belum dimuktamadkan dan sedang dirunding. – Edisi 9

