MAYAT seorang lelaki berusia 35 tahun ditemukan dalam keadaan menyayat hati dengan keadaan otak dan tengkorak hancur akibat digilis kereta api di landasan Express Rail Link Sdn Bhd (ERL), Kota Warisan, Sepang, semalam.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, saksi kejadian yang juga penyelia landasan memaklumkan melihat mangsa yang dipercayai berbangsa India berada di landasan ERL, semasa sedang memantau anak buahnya membuat kerja, kira-kira jam 8.40 pagi.
“Selepas melihat lelaki tersebut berada di dalam landasan, pengadu bertindak menegur lelaki tersebut dan minta beredar.
“Dalam masa yang sama telah datang sebuah kereta api dari arah Stesen ERL menuju ke KLIA tiba di tempat kejadian, namun mangsa bertindak dengan berbaring di atas landasan kereta api sebelum digilis oleh kereta api itu,”katanya menerusi kenyataan di sini.
Katanya, pemeriksaan ke atas mayat mangsa mendapati kaki sebelah kiri telah patah manakala kepala pecah dan tangan terdapat luka kecil.
“Hasil pemeriksaan juga mendapati kawasan tersebut tidak mempunyai litar sistem kamera litar tertutup (CCTV). Barang peribadi mangsa iaitu dompet, telefon bimbit dan kunci kereta di temui pada badan.
“Pemeriksaan di lokasi kejadian turut menemui serpihan disyaki otak dan tengkorak sejauh 50 kaki.
“Sebuah kereta jenis Perodua Bezza dipercayai milik mangsa ditemui berdekatan lokasi kejadian,”katanya.
Ujar beliau, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Serdang untuk dibedah siasat. – Edisi 9

