AHLI Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mendakwa Tan Sri Muhyiddin Yassin paling bimbang apabila melihat kerjasama parti dalam Kerajaan Perpaduan semakin kukuh.
Ia susulan kemenangan calon mewakili kerajaan perpaduan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Pelangai di Pahang serta DUN Simpang Jeram dan Parlimen Pulai di Johor baru-baru ini.
Katanya, paling Muhyiddin bimbang ekoran PRK Pelangai, Simpang Jeram dan Pulai ialah kerjasama parti dalam kerajaan perpaduan semakin kukuh.
“Tiada sabotaj. Jauh berbeza ketika PRN Sabah. Calon UMNO disabotaj oleh Bersatu. Ada pula calon bebas tajaan. Itu sebab UMNO keluar Kerajaan PN.
“Pelangai jadi mimpi ngeri kepada Muhyiddin. Pahang negeri terakhir yang ada peluang untuk tebuk atap. Tetapi gagal,”katanya menerusi kenyataan hantaran di Facebook beliau hari ini.
Mohd Puad berkata, matlamat Muhyiddin ialah kerajaan ini jatuh sebelum cukup tempoh.
“Dia dihantui bebanan. Jana Wibawa, menantu diburu dan peguam peribadi pula disiasat SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) .
“Bersatu tiada negeri sendiri. Tiga negeri pembangkang milik PAS. Bersatu perlu rakan baru parti bukan Melayu. PN akan pecah juga,”katanya.
PRK DUN Pelangai Sabtu lalu menyaksikan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Amizar Abu Adam memperoleh 7,324 undi, sekali gus menewaskan PN diwakili Kasim Samat yang mendapat 4,375 undi manakala calon Bebas, Haslihelmy DM Zulhasli hanya 47 undi. – Edisi 9

