Thursday, June 4, 2026

Penjawat awam jangan berkompromi soal integriti – KPPA

Mesti Baca

Ahmad Shazwan Md Yusof
Ahmad Shazwan Md Yusof
Wartawan Edisi 9

PENJAWAT awam diingatkan supaya tidak sesekali berkompromi dalam soal integriti dan mengambil tanggungjawab sepenuhnya dalam menjaga setiap kementerian mahupun jabatan.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Datuk Dr. Zulkapli Mohamed berkata, selaku pegawai pengawal di setiap kementerian dan jabatan yang diterajui, integriti merupakan perkara yang perlu diberi keutamaan.

Katanya, penjawat awam bertanggungjawab memastikan keseluruhan modal insan yang berada dalam organisasi memahami dan menghayati sifat jujur dan amanah seterusnya menterjemahkan nilai-nilai murni tersebut dalam setiap bentuk tindakan yang dilakukan.

“Amanah dijulang, integriti dipegang, kejujuran diserlahkan. Kita semua tidak akan sama sekali berkompromi dengan isu integriti.

“Lantas, sebagai pegawai awam yang diberikan tanggungjawab, kita perlu berpegang pada integriti dalam usaha kita bersama-sama pemimpin negara memperkasakan pembangunan ekonomi sebagaimana yang digariskan dalam Kerangka Ekonomi Madani,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi kenyataan selepas meluncurkan Persidangan Pemerkasaan Integriti bersama KPPA, Ketua Audit Negara (KAN) dan Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) di sebuah hotel di Sepang, Rabu lalu.

Persidangan tersebut mengangkat tema ‘Membudaya Integriti, Memperteguh Malaysia Madani’ menzahirkan hasrat dan harapan KPPA untuk semua Ketua Setiausaha dan Ketua Jabatan terus berusaha memartabatkan integriti dan akauntabiliti dalam perkhidmatan awam.

Menyentuh mengenai Laporan Ketua Audit Negara (LKAN), Dr. Zulkapli mengingatkan semua Ketua Setiausaha dan Ketua Jabatan mengambil perhatian serius teguran-teguran LKAN.

“Ia bagi mengurangkan isu-isu ketirisan, pembaziran dan salah guna kuasa. Mereka turut diminta bersiap siaga dengan sebarang teguran yang akan dibentangkan di Parlimen pada bulan hadapan,” katanya. – Edisi 9

Terkini

Hektar HEIT cadang ambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East

HEKTAR REIT bercadang mengambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East (KYSKLEIS) pada nilai RM125 juta bagi memperkukuhkan aliran pendapatan...

Lagi Artikel Berkaitan