INSIDEN kebakaran melibatkan 24 buah kontena di atas kapal MV KMTC Shenzhen yang berlaku pada 12 Ogos lalu telah berjaya dikawal sepenuhnya, hari ini.
Timbalan Pengarah (Operasi) Maritim Negeri Selangor, Komander Maritim Mohd Shahrenliza Ghazali berkata, operasi pemadaman api yang dilakukan bersama Jabatan Laut Malaysia Wilayah Tengah, Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pelabuhan Klang telah berjaya mengawal sepenuhnya kebakaran tersebut.
“Keadaan Kapal MV KMTC Shenzhen tidak mengalami kebakaran kecuali kontena seperti dimaklumkan yang berada di bahagian hadapan kapal berkenaan.
“Peralatan keselamatan yang lengkap dalam kapal terbabit telah memudahkan proses memadamkan kebakaran ini disamping kru kapal yang memberikan kerjasama yang penuh dalam usaha tersebut,” katanya pada sidang media di Perairan Pelabuhan Klang hari ini.
Mohd Shahrenliza berkata, pihak Maritim Negeri Selangor ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBSM) Negeri Selangor, Jabatan Laut Malaysia Wilayah Tengah, Lembaga Pelabuhan Klang (LPK), Pasukan Polis Marin (PPM) dan pihak Pelabuhan dalam usaha memadamkan kebakaran ini.
Sementara itu pada sidang media yang sama, Penolong Pesuruhjaya Bomba (PPjB) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBSM) Negeri Selangor Nor Ariffin Kamari berkata, dalam usaha memadamkan kebakaran berkenaan pihak bomba berhadapan cabaran kerana perlu berhati-hati dengan bahan kimia yang terdapat di atas kapal tersebut seperti Organic Perixide, Propyl Acetate dan Alkysulphonic Acid.
Beliau turut memaklumkan pemantauan daripada pihak JBPM masih dilakukan bagi memastikan tiada lagi kebakaran di atas kapal berkenaan.
Sebagai rekod seramai 18 orang kru termasuk kapten kapal berkenaan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan. – Edisi 9

