32.9 C
Kuala Lumpur
Friday, May 3, 2024

Polis tahan 3 lelaki, rampas dadah bernilai RM200,000

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

POLIS berjaya menahan tiga lelaki warga tempatan sekaligus membongkar kegiatan sindiket menjadikan makmal haram sebagai tempat pemprosesan dadah dalam operasi yang dijalankan di Seberang Perai Selatan dan Seberang Perai Tengah pada 14 Ogos hingga 15 Ogos lalu.

Penahanan tiga suspek turut membawa rampasan pelbagai jenis dadah bernilai kira-kira RM200,000.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Khaw Kok Chin berkata, operasi terancang berkenaan telah dilakukan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Pulau Pinang hasil risikan dan intipan yang dijalankan sejak tiga bulan lepas.

“Dalam serbuan di sebuah rumah di Simpang Ampat, Seberang Perai Selatan, polis berjaya menahan seorang ahli perniagaan dan membongkar kegiatan sebuah makmal memproses dadah.

“Sementara, dalam serbuan kedua di Taman Sejahtera, Bukit Mertajam pula polis menahan dua beradik, masing-masing bekerja sebagai pengusaha bengkel lori dan pemandu lori, di rumah keluarga mereka.

“Susulan dua serbuan itu polis merampas 30 bungkusan heroin seberat 13.5 kilogram (kg), 230 batang rokok mengandungi 0.244 kg dadah jenis mushroom dan kafein (4.23 kg) yang kesemuanya bernilai RM200,000,” katanya dalam sidang media hari ini.

Advertisements

Khaw berkata, polis turut merampas pelbagai peralatan dan perkakasan memproses dadah serta bahan-bahan kimia yang digunakan untuk memproses heroin di makmal dadah haram terbabit.

“Berdasarkan siasatan sindiket itu dipercayai mendapatkan bekalan dadah daripada rangkaian mereka sebelum memprosesnya di rumah sewa di Simpang Ampat, sebelum menjualnya semula untuk pasaran tempatan.

Beliau berkata, hasil risikan mendapati sindiket itu menjalankankan kegiatan memproses dan mengedar dadah sejak tiga bulan lepas dan semua dadah dirampas itu dianggarkan boleh digunakan oleh 67,730 penagih dadah.

Sehubungan dengan itu, kata beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika disabitkan kesalahan hendaklah dikenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sebatan rotan yang tidak kurang daripada (12) sebatan bagi pesalah yang disabitkan kesalahan.

Ujarnya, Polis Diraja Malaysia akan terus berusaha meningkatkan usaha bagi memerangi kegiatan pengedaran dadah untuk memastikan kegiatan aktiviti dadah dibanteras habis-habisan. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Akhyar Rashid disamun, cedera di kepala akibat dipukul

PEMAIN bola sepak kebangsaan, Akhyar Rashid cedera di kepala dan kaki selepas menjadi mangsa samun di Kuala Terengganu sekitar...

Lagi Artikel Berkaitan