JENTERA parti yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri Ke-15 perlu mematuhi peraturan ditetapkan termasuk tidak menyentuh isu 3R (Institusi Diraja, Agama, Bangsa) ketika berkempen.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, sekiranya didapati melanggar undang- undang akan dikenakan tindakan.
“Setiap parti juga perlu mendapatkan permit terlebih dahulu sebelum mengadakan program ceramah sepanjang tempoh berkempen bagi setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) dibawah Parlimen Sepang,”katanya menerusi kenyataan di sini.
Beliau berkata, penyokong juga dingatkan supaya mematuhi peraturan pemasangan bahan kempen termasuk tidak meletakkannya di bangunan kerajaan dan tidak membahayakan pengguna jalan raya
“Jangan juga melakukan provokasi, tidak terbabit dalam pergaduhan dan perarakan motosikal yang boleh membahayakan keselamatan orang ramai,” katanya.
Dalam pada itu beliau berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang merancang untuk menempatkan lebih ramai anggota pada hari mengundi yang berlangsung 12 Ogos ini.
“Langkah itu bagi memastikan proses pengundian di pusat-pusat pembuangan undi di sekitar daerah berkenaan berjalan lancar.
“IPD Sepang juga merancang untuk menempatkan lebih ramai anggota sekitar 818 anggota pada hari mengundi 12 Ogos ini bagi melancarkan proses pengundian,”katanya.
Wan Kamarul berkata, semalam sahaja pada hari penamaan calon, jumlah anggota yang bertugas dari IPD Sepang adalah seramai 581.
“Ia melibatkan seramai 148 anggota yang ditempatkan di Dewan Komuniti Pantai Sepang Putra, Tanjung Sepang dan 248 anggota di Dewan Semarak Cyberjaya DUN Dengkil serta 185 anggota di Dewan Komuniti Bandar Baru Salak Tinggi DUN Sungai Pelek,”katanya. – Edisi 9

