26.5 C
Kuala Lumpur
Friday, May 3, 2024

Pemilihan calon PKR dilakukan secara telus, ikut proses

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

PEMILIHAN calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Negeri Sembilan bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini dilakukan secara telus dan mengikut proses ditetapkan parti.

Timbalan Presidennya, Rafizi Ramli berkata, keputusan itu mengambil kira keseimbangan barisan calon dengan membuka ruang kepada golongan wanita, sesuai dengan usaha kepimpinan tertinggi PKR untuk memberi nafas baharu kepada parti.

“Kita ada tiga peringkat tapisan sebelum ia diputuskan oleh Presiden PKR (Datuk Seri Anwar Ibrahim)… saya pun sebenarnya tidak tahu senarai akhir (calon yang telah disenarai pendek) itu sehingga diumumkan… kita nak kekalkan supaya ada penyertaan calon wanita lebih tinggi.

“…dulu sebelum Kerajaan Perpaduan, PKR boleh bertanding banyak kerusi, sekarang kita ada enam sahaja. Jadi enam itu kita nak pastikan satu pertiga itu wanita jadi calon di Negeri Sembilan, oleh itu, seseorang perlu mengundur diri.

“Keputusan itu bukan soal siapa dapat, siapa tak dapat, itu keputusan parti,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ceramah Program Jelajah MADANI di pekarangan Pusat Perniagaan Taman Megaway, di sini, malam tadi.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ampangan, Datuk Dr Mohamad Rafie Ab Malek yang dilaporkan mendakwa namanya tidak dicalonkan sebagai calon PKR bagi mewakili Pakatan Harapan (PH) di kerusi itu atas arahan Rafizi dan pengerusi PH negeri, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Advertisements

Pengarah Pilihan Raya PKR itu turut menafikan dakwaan bahawa nama Mohamad Rafie digugurkan disebabkan kelantangannya dalam mengkritik pimpinan Aminuddin sebagai Menteri Besar dengan mengambil contoh pencalonan muka baharu di negeri-negeri lain yang menghadapi PRN.

“Yang lain pun kena gugur juga… ada yang kritik kasar ke apa ada yang dikekalkan, sebab kalau tengok dalam PKR kali ini langsung tidak timbul soal faction (puak), tak ada langsung. Kita memerlukan keseimbangan penampilan sebab kalau tidak memang wanita takkan dapat tempat langsung,”katanya.

Selain Mohamad Rafie, turut digugurkan sebagai calon mewakili PH di negeri itu ialah penyandang DUN Sri Tanjung yang juga Timbalan Speaker DUN Negeri Sembilan, Datuk M. Ravi, Datuk Michael Yek Diew Ching (penyandang DUN Chuah) dan Mohamad Nazaruddin Sabtu (penyandang DUN Pilah).

Nama-nama berkenaan diganti dengan muka baharu iaitu Tengku Zamrah Tengku Sulaiman yang bertanding kerusi DUN Ampangan, Dr Rajasekaran (Sri Tanjung), Yew Boon Lye (Chuah) dan Nur Zunita Begum (Pilah).

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan PRN di Negeri Sembilan, Selangor, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Kedah serta Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi Parlimen Kuala Terengganu dilaksanakan serentak, dengan hari pengundian pada 12 Ogos manakala pengundian awal pada 8 Ogos. – BERNAMA

Advertisements

Terkini

Malaysia melangkah bergaya ke separuh akhir Piala Thomas

MALAYSIA melangkah ke separuh akhir Piala Thomas selepas membenam juara edisi 2014, Jepun 3-1 di peringkat suku akhir Pusat...

Lagi Artikel Berkaitan