LEMBAGA Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) menggalakkan aktiviti agropelancongan nanas menerusi pemberian geran agropreneur sehingga maksimum RM250,000 bagi membantu para usahawan membangunkan industri sektor pelancongan ini.
Pengerusinya, Sheikh Umar Bagharib Ali berkata, geran ini diberikan berdasarkan permohonan, penilaian serta kelulusan di peringkat Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.
Menurut beliau, sehingga tahun 2022, sebanyak 13 kawasan agropelancongan berasaskan nanas telah dibangunkan di seluruh negara.
“Kawasan-kawasan ini terdiri daripada kawasan milik LPNM sendiri dan juga pihak swasta. Sebanyak RM 515,000 peruntukan telah disalurkan bagi Program Agropelancongan LPNM pada tahun 2021-2022.
“Manakala bagi tahun 2023, sebanyak RM750,000 telah diperuntukan bagi program ini kerana permohonan yang diterima amat menggalakkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, dua kawasan agropelancongan milik LPNM adalah Pusat Agroteknologi Sungai Tong, Setiu, Terengganu dan Pusat Agroteknologi Alor Bukit, Pontian, Johor.
“Dua lokasi ini merupakan kawasan penanaman nanas dan juga tanaman nanas ornamental (Bromeliad). Bahkan di Alor Bukit Pontian turut dijalankan demonstrasi penghasilan benang nanas.
“Sebelas lagi kawasan yang lain merupakan pusat agropelancongan yang didirikan oleh pihak swasta. Lokasi-lokasinya ialah Saudagar Nanas (Bangi, Selangor), Qutus Agrofarm (Tangkak, Johor), Fionanas (Melaka), Skyladder Pineapple Farm (Port Dickson, Negeri Sembilan).
“Kawasan lain seperti Warisan Serat Nanas (Pontian, Johor), NNS Fruit Trading (Simpang Renggam, Johor), D’Rumah Bonda River View (Kuala Kangsar, Perak) dan Nictar Pineapple Park (Pontian, Johor),” katanya.
Menurut beliau, antara contoh daya tarikan agropelancongan nanas termasuklah produk makanan berasaskan nanas seperti tart, jem dan aiskrim; produk bukan makanan seperti fabrik benang, kertas dan tali; produk kesihatan seperti ubat batuk, lozenge dan barangan kosmetik.
“Selain itu, pelbagai aktiviti tarikan pelancong seperti pembuatan kraf nanas, lukisan diatas kertas nanas, demonstrasi aktiviti penuaian buah nanas, cafe produk-produk nanas serta banyak lagi,”katanya.
Katanya, pada 24 Jun 2023, beliau telah merasmikan Pesta Ananas 2023 di Pekan Nanas, Pontian.
“Pesta ini pertama kali diadakan dan telah dianjurkan oleh Nictar Pineapple Park, sebuah
syarikat tempatan yang terlibat dengan industri berasaskan nanas. LPNM turut memberikan kerjasama dalam penganjuran pesta ini.
“Semasa Pesta Ananas 2023 ini dijalankan saya turut mengumumkan kelulusan geran agropreneur berjumlah RM115,000 kepada Nictar Pineapple Park untuk memajukan sektor agropelancongannya.
“Pesta Ananas 2023 diadakan bertujuan mengetengahkan industri nanas kepada masyarakat umum.
“Pelbagai aktiviti menarik telah dijalankan termasuklah pameran, demo tanaman serta
tuaian, jualan produk, permainan, persembahan dan penerangan berkaitan nanas.
“Program seumpama ini termasuk dalam kategori agropelancongan atau pelancongan tani. Agropelancongan adalah satu aktiviti pelancongan yang bermotifkan aktiviti penyeludupan pertanian, penternakan mahupun perikanan.
“Di peringkat LPNM, agropelancongan merupakan satu cabang dalam usaha mempelbagaikan industri hiliran nanas dalam rantaian ekonominya (economic chain).
“Pada masa yang sama, tidak dapat dinafikan lagi bahawa agropelancongan telah semakin mendapat perhatian ramai.
“Sehubungan dengan itu, menjadi harapan saya, semoga cabang agropelancongan nanas akan terus berkembang luas dan berdaya saing bagi mengukuhkan rantaian ekonomi industri nanas selaras pengiktirafan yang telah diberikan menerusi Bajet 2018 dahulu – Nanas sebagai ‘Sumber Kekayaan Baru’ Malaysia,”katanya. – Edisi 9

