LAGENDA Liverpool, Steven Gerrard dilantik sebagai pengurus baharu kelab Arab Saudi, Al-Ettifaq semalam.
Bekas pengendali Glasgow Rangers dan Aston Villa itu sebelum ini menolak kemungkinan untuk berhijrah ke Arab Saudi namun kini bersetuju dengan tawaran lumayan daripada kelab yang berpangkalan di Dammam itu.
Persetujuan antara Gerrard dan wakil Al-Ettifaq yang terbang ke London semalam dicapai selepas kelab tersebut bersetuju melabur jutaan ringgit bagi membawa pemain bertaraf bintang ke kelab itu.
Al-Ettifaq mahu membina pasukan bagi menyaingi empat kelab besar yang dipayungi Public Investment Fund (PIF) seperti Al-Nassr, Al-Hilal, Al-Ittihad dan Al-Ahli.
Antara pemain yang dipertimbangkan Al-Ettifaq untuk dibawa masuk adalah pemain perancang kreatif, Phillipe Coutinho dari Aston Villa.
Gerrard dan Coutinho pernah beraksi bersama ketika di Liverpool dan turut bekerjasama ketika pengurus itu mengendalikan Villa.
Penampilan pemain berusia 31 tahun itu di Villa Park terhad musim lalu selepas dibelenggu beberapa siri kecederaan sehingga terlepas Piala Dunia 2022 Qatar.
Selain itu, Al-Ettifaq turut mensasarkan penyerang Atletico Madrid, Alvaro Morata selepas kelab Sepanyol itu bersedia melepaskan pemain itu musim panas ini.
Bagaimanapun, Morata turut diburu Inter Milan, AS Roma dan Al Hilal turut dikaitkan dengan perpindahan keluar dari ibu kota Madrid. – Edisi 9

