SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah mengambil keterangan tiga saksi termasuk Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing berhubung dakwaan rasuah melibatkan insiden seorang warga China di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), baru-baru ini.
Selain King Sing, dua lagi saksi adalah warga China yang dikatakan terlibat turut diambil keterangan.
“Beberapa orang pegawai Jabatan Imigresen yang terlibat juga akan dipanggil untuk diambil keterangan berhubung perkara itu pada hari ini,” katanya memetik laporan Astro AWANI.
Menurut sumber yang sama, SPRM juga telah mengenal pasti seorang individu yang disyaki menjadi orang tengah dalam urusan “penyelesaian” kes melibatkan seorang pelancong asing yang dikatakan tidak memenuhi syarat kemasukan ke negara ini sebagaimana yang ditetapkan oleh Jabatan Imigresen Malaysia.
“Kami sedang giat mengesan seorang individu yang merupakan ejen yang dikatakan telah meminta wang rasuah sebanyak RM18,000 bagi menyelesaikan siasatan kes terbabit,”katanya.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut sambil menegaskan kes berkenaan disiasat dibawah seksyen 16 (a) Akta SPRM 2009.