SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) merampas sebanyak 6,916 unit kelengkapan komunikasi yang disyaki tidak diperakui bernilai RM2.06 juta dalam serbuan di sebuah syarikat, Rabu lalu.
Menurut MCMC syarikat terbabit dipercayai terlibat dalam penjualan serta pemilikan bagi tujuan penjualan kelengkapan komunikasi yang tidak diperakui dan tidak mematuhi piawaian teknikal yang ditetapkan oleh suruhanjaya tersebut.
MCMC berkata, antara kelengkapan komunikasi yang disita ialah kamera litar tertutup tanpa wayar (wireless CCTV).
“Turut disita bagi membantu siasatan ialah komputer, mesin pencetak, telefon bimbit dan penghala WiFi (WiFi router),” katanya dalam kenyataan hari ini.
MCMC berkata, serbuan dilakukan hasil maklumat risikan menerusi kerjasama strategik dengan SIRIM QAS International Sdn. Bhd., selaku agensi pemerakuan berdaftar.
“Seramai 44 pegawai telah terlibat dalam operasi yang dijalankan secara serentak di sebuah gudang penyimpanan di Klang serta sebuah premis yang dijadikan pejabat urusan dan studio siaran langsung di Johor Bahru,” katanya.
Siasatan awal mendapati, kelengkapan komunikasi berkenaan ditawarkan dan dijual melalui platform e-dagang, termasuk TikTok Shop dan Shopee.
Seramai lapan individu termasuk pengurus syarikat, pembantu gudang dan hos siaran langsung telah dirakam percakapan bagi membantu siasatan.
MCMC menegaskan, penjualan dan penggunaan kelengkapan komunikasi yang tidak diperakui boleh menjejaskan keselamatan pengguna kerana tidak mematuhi piawaian teknikal yang ditetapkan.
Selain itu, ia berpotensi menjejaskan prestasi dan kebolehpercayaan peranti, penggunaannya juga boleh menyebabkan gangguan kepada rangkaian komunikasi serta menjejaskan kualiti perkhidmatan komunikasi.
Kes disiasat di bawah Peraturan 16, Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM300,000 atau penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.
MCMC akan terus mempergiat tindakan penguatkuasaan terhadap penjualan, pengedaran serta pemilikan bagi tujuan penjualan kelengkapan komunikasi yang tidak diperakui.
Orang ramai dinasihatkan supaya mendapatkan hanya kelengkapan komunikasi yang telah diperakui bagi memastikan keselamatan pengguna serta mengelakkan risiko gangguan kepada rangkaian komunikasi negara. — Edisi 9

