Sunday, July 19, 2026

Lebih 880,000 fail digital CSAM, pornografi dirampas

31 suspek ditahan termasuk remaja dan warga emas terdiri daripada pelajar sekolah, penuntut institusi pengajian tinggi, jurutera, pereka grafik dan guru agama.

Mesti Baca

Editor Edisi 9
Editor Edisi 9
Editor Edisi 9

LEBIH  880,000 fail digital mengandungi bahan bahan penganiayaan seksual kanak-kanak (CSAM) dan pornografi dewasa ditemui dalam operasi khas bersepadu Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam Op Pedo 2.0, bulan lalu.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, rampasan itu membabitkan 82 peranti digital termasuk komputer, telefon bimbit, modem dan storan digital hasil serbuan di 37 lokasi seluruh negara.

Beliau berkata, jumlah fail yang ditemukan menunjukkan peningkatan lebih 20 kali ganda berbanding Op Pedo 1.0 yang dijalankan Disember tahun lalu dan hanya merekodkan 40,000 fail digital.

Beliau berkata, operasi kali ini turut membawa kepada penahanan 31 suspek termasuk seorang warga asing, kesemuanya lelaki berusia antara 12 hingga 71 tahun terdiri daripada pelajar sekolah, penuntut institusi pengajian tinggi, jurutera, pereka grafik dan guru agama.

“Operasi disertai 206 pegawai dan anggota daripada 14 kontinjen PDRM, dilaksanakan hasil risikan digital dan pemantauan berterusan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Bukit Aman dengan kerjasama MCMC serta agensi luar negara.

“Operasi dijalankan serentak bagi menumpaskan rangkaian pengedaran bahan lucah kanak-kanak yang aktif menggunakan pelbagai platform digital termasuk Telegram, WhatsApp, Tumblr, Facebook dan laman sesawang tersembunyi,” katanya seperti dilapor Berita Harian hari ini.

Mohd Khalid berkata, latar belakang tangkapan termasuk kalangan pelajar sekolah, penuntut institusi pengajian tinggi, jurutera, pereka grafik, tukang masak, guru serta penganggur.

Menurutnya, pemeriksaan forensik mendapati bahan yang dirampas mengandungi subjek daripada dalam dan luar negara, termasuk mangsa tempatan yang dikenal pasti hasil analisis awal pasukan penyiasat.

Setakat ini, 29 kertas siasatan dibuka, manakala 17 suspek sudah dituduh di mahkamah termasuk 15 yang mengaku bersalah dan dikenakan denda antara RM1,000 hingga RM10,000, sementara dua lagi masih dibicarakan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 8 dan 10 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, Seksyen 292 Kanun Keseksaan serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 bagi warga asing.

Terkini

Exco Johor: Enam kekal portfolio, empat lantikan baharu

SERAMAI 10 Ahli Majlis Mesyuarat (Exco) Kerajaan Negeri Johor bagi penggal 2026-2031 hari ini mengangkat sumpah jawatan masing-masing hari...

Lagi Artikel Berkaitan