Tuesday, July 21, 2026

Leafhaus rancang bawa teh masalanya ‘terbang di awan biru’

Mesti Baca

PENGELUAR teh masala steril dalam tin, Leafhaus merancang untuk membawa produk keluarannya ‘terbang di awan biru’ dalam masa terdekat.

Pengasasnya, A. Gisnervern berkata, untuk itu pihaknya sedang berbincang dengan Air Asia untuk menjalin kerjasama strategik dalam usaha memperkenalkan minuman tempatan ke peringkat antarabangsa.

“(Jika) Tan Sri Tony Fernandes (pemilik AirAsia) membuktikan bahawa impian rakyat Malaysia boleh ‘terbang’. 

“Saya pula mahu membuktikan bahawa rasa Malaysia juga mampu ‘mengembara’ jauh,” kata beliau sempena pelancaran minuman dalam tin teh masala di Universiti Multimedia Malaysia (MMU) di Cyberjaya hari ini.

Menerusi kerjasama itu beliau berharap dapat menyedia teh masala dan susu kunyit dalam penerbangan terpilih AirAsia serta rangkaian restoran Santan.

Gisnervern berkata, bagi memperluaskan capaian pasaran, Leafhaus turut dalam perbincangan dengan rangkaian restoran daun pisang, BananaBro. 

Katanya, perancangan itu bertujuan menawarkan minuman warisan bersijil halal Leafhaus di semua cawangan BananaBro seluruh negara.

“BananaBro mencerminkan evolusi pengalaman makan rakyat Malaysia — moden, muda dan berteraskan budaya. 

“Ini merupakan platform terbaik untuk Leafhaus menyentuh hati setiap pelanggan, di setiap meja, di setiap hidangan,” katanya.

Sementara itu Presiden MMU, Prof. Mazliham Mohd Su’ud berbangga dengan pencapaian alumninya itu dalam bidang perniagaan tersebut.

“Kami amat berbangga melihat bekas pelajar MMU meneroka sempadan baharu dan mencipta penanda aras global.

“MMU akan terus menyokong semangat keusahawanan yang bermula dari dalam kampus ini,” katanya.

Untuk rekod, Gisnervern bermula melalui inisiatif kecil di kampus dan kini berjaya berkembang menjadi jenama berpotensi tinggi untuk pasaran global. 

Beliau mengambil masa dua tahun untuk menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) sebelum bersedia untuk dilancarkan secara komersial.

Leafhaus mensasarkan jualan 10,000 tin minuman keluarannya menjelang akhir tahun ini. — Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan