Tuesday, July 21, 2026

Rangka kerja penyimpanan data penting bendung jenayah siber

Kelewatan walaupun seketika boleh menyebabkan peluang untuk mencegah kemudaratan atau mendapatkan sabitan terlepas begitu sahaja. - Pakar kriminologi

Mesti Baca

CADANGAN Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk mewujudkan rangka kerja standard penyimpanan dan pemeliharaan data komunikasi dilihat sebagai langkah tepat dalam meningkatkan keberkesanan siasatan jenayah, khususnya jenayah siber, eksploitasi kanak-kanak dan keganasan.

Pensyarah Kanan Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya, Dr. Haezreena Begum Abdul Hamid berkata, akses segera kepada metadata seperti rekod panggilan, alamat IP dan data geolokasi sangat penting bagi membantu pihak berkuasa bertindak pantas dalam menjejaki suspek serta melindungi mangsa.

“Dari perspektif undang-undang, akses ini memastikan bukti diperoleh secara sah, dipelihara dengan baik, dan boleh diterima di mahkamah, di samping mematuhi keperluan proses wajar.

“Ia juga membolehkan tindakan siasatan segera diambil sebelum data penting terhapus.

“Dari perspektif kriminologi, akses pantas menyokong proses pengecaman suspek, penggagalan rangkaian jenayah, dan perlindungan terhadap mangsa, khususnya dalam jenayah berasaskan teknologi yang bergerak pantas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, ketiadaan rangka kerja yang konsisten boleh menjejaskan keselamatan awam apabila ada penyedia perkhidmatan yang memadam data terlalu awal, sekali gus menyebabkan bukti penting terhapus sebelum sempat diperoleh pihak berkuasa.

“Kelewatan walaupun seketika boleh menyebabkan peluang untuk mencegah kemudaratan atau mendapatkan sabitan terlepas begitu sahaja,” kata pakar kriminologi itu.

HAEZREENA BEGUM

Haezreena Begum turut merujuk pengalaman antarabangsa seperti Arahan Penyimpanan Data Kesatuan Eropah (2006/24/EC) dan undang-undang di Australia yang mewajibkan penyimpanan metadata selama dua tahun, yang terbukti banyak membantu dalam kes jenayah siber, eksploitasi kanak-kanak dan keganasan.

Bagaimanapun, beliau menegaskan kebimbangan terhadap isu privasi perlu ditangani melalui langkah perlindungan yang jelas termasuk pengawasan kehakiman, akses berautorisasi serta menghadkan penyimpanan hanya kepada metadata.

“Langkah ini menjamin perkadaran, ketepatan sasaran, serta penggunaan data yang sah semata-mata untuk tujuan penguatkuasaan undang-undang.

“Ketelusan pengawasan, audit bebas, pelaporan awam, serta penglibatan bermakna dengan masyarakat sivil adalah kritikal untuk mengekalkan keyakinan awam,” katanya.

Beliau menggesa orang ramai mengambil bahagian dalam sesi konsultasi awam yang dijalankan oleh MCMC supaya pelbagai pandangan dapat diambil kira dalam merangka polisi yang seimbang.

“Penyimpanan dan pemeliharaan data merupakan alat penting bagi penguatkuasaan undang-undang moden, tetapi ia mesti dilaksanakan dalam rangka kerja yang seimbang, telus, serta menghormati hak asasi,” kata beliau. — Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan