PERLIS Connect, program perdana yang dilancarkan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail mampu meningkatkan literasi digital dan memperkasa usahawan di Padang Besar.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berkata, program bertujuan memperluas kesedaran digital, memperkasakan pengguna, serta menyokong ekosistem inovasi dan keusahawanan tempatan melalui pelbagai inisiatif dan aktiviti interaktif.
“Inisiatif ini menjadi platform strategik untuk mendedahkan masyarakat kepada kemajuan teknologi dan komunikasi,” kata MCMC dalam kenyataan, malam tadi.
Majlis yang berlangsung di Padang Besar Street itu dihadiri kira-kira 2,000 pengunjung dari pelbagai lapisan masyarakat.
Antara pengisian menarik Perlis Connect ialah sesi penerangan perkhidmatan perayauan antarabangsa dan kempen keselamatan siber melalui Kempen Internet Selamat (KIS).
Turut diadakan demonstrasi aplikasi MCMC NEXUS, serta pameran dan jualan produk tempatan oleh usahawan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI).
Selain itu, Kaunter Aduan (MCMC) bagi memudahkan orang ramai membuat laporan, mendapatkan khidmat nasihat dan mengakses maklumat berkaitan perkhidmatan komunikasi, sekali gus mendekatkan perkhidmatan kepada rakyat turut dibuka.
Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) turut menyumbang kepakaran editorial dan memanfaatkan platform medianya bagi memperluas jangkauan cerita kejayaan usahawan tempatan.
Usaha ini dilaksanakan melalui sesi temu bual langsung, liputan berita, serta siaran langsung dari Studio Bergerak BERNAMA di lokasi program.
Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa; Ahli Suruhanjaya MCMC, Jeneral (B) Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin dan Ketua Pegawai Eksekutif BERNAMA, Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin. — Edisi 9

