UMNO mengucapkan syukur kepada Allah dengan pengesahan kewujudan Titah Adendum oleh Peguam Negara, semalam.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pengesahan itu sekaligus memperakui titah bagi penahanan rumah Datuk Seri Najib Razak.
“UMNO merafak sembah memohon ampun dan ihsan kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong agar titah tahanan rumah tersebut dapat dilaksanakan selaras dengan kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong berpandukan Perkara 42(1) Perlembagaan Persekutuan.
“Semoga dengan limpah kurnia Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku akan membolehkan Datuk Seri Najib mendapat keringanan hukuman yang telah tertunda lebih setahun lalu,” katanya dalam kenyataan tiga perenggan hari ini.
Rabu lalu, Jabatan Peguam Negara (AGC) memberitahu Mahkamah Persekutuan bahawa mereka tidak mempertikaikan kewujudan Titah Adendum yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjara dalam tahanan rumah.
Sebaliknya Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan berkata, AGC mempersoalkan prosedur untuk mengemukakan titah itu sebagai bukti baharu dalam permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi.
Sebelum itu, Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim meminta kepastian mengenai pendirian AGC kerana agensi itu tidak mempertikai kewujudan titah tersebut. — Edisi 9

