Thursday, July 23, 2026

Khutbah Jumaat: Hijrah Nabi SAW Membangun Ummah Rabbani

Hijrah Rasulullah SAW telah membawa satu proses perubahan menyeluruh dalam membina masyarakat berteraskan nilai-nilai wahyu.

Mesti Baca

Muslimin yang dirahmati Allah SWT sekalian,

Saya menyeru agar kita bersama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala perintah dan meninggalkan segala perkara yang dilarang-Nya.

Semoga kita semua diberikan kebahagiaan dan kejayaan di dunia dan di akhirat. Para jemaah diingatkan supaya jangan bermain dengan telefon bimbit ketika khutbah disampaikan.

Bersempena sambutan Maal Hijrah bersamaan 1 Muharram 1447H, pada hari ini mimbar akan membicarakan khutbah bertajuk Hijrah Nabi SAW Membangun Ummah Rabbabi.

Hadirin Jumaat yang dirahmati Allah SWT,

Hijrah Rasulullah SAW bukan sekadar berpindah dari Mekah ke Madinah, tetapi ia merupakan suatu langkah strategik dalam membina sebuah Ummah Rabbani yakni umat yang mengenal Allah SWT, hidup berpaksikan al-Quran dan Sunnah, serta memikul amanah dakwah dan kerja-kerja amar makruf nahi mungkar.

Kita sedia maklum bagaimana keadaan masyarakat Arab jahiliah dahulunya tenggelam dalam maksiat, kejahilan dan saling berpecah belah kemudian berubah menjadi umat yang bersatu dan saling mengasihi antara satu sama lain atas nikmat Iman dan Islam.

Pada waktu itu, Rasulullah SAW tidak hanya membina aqidah dan memperindah akhlak masyarakat di sana, tetapi Baginda SAW telah mencetuskan satu revolusi ilmu dalam masyarakat Arab yang sebelum itu jahil dan jauh daripada nilai ilmu, kini berubah menjadi umat yang mampu memberi impak besar kepada tamadun dunia.

Semangat ilmu ini dipupuk sendiri oleh Baginda SAW sebagaimana sabdanya yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radiallahuanhu yang bermaksud:

“Sesiapa menempuh jalan untuk mencari ilmu, maka Allah akan memudahkan jalannya ke syurga. Tidaklah sekumpulan orang berkumpul di suatu rumah Allah untuk membaca al-Quran dan mempelajarinya sesama mereka melainkan ketenangan akan turun kepada mereka, rahmat akan menaungi mereka, para malaikat akan mengelilingi mereka dan Allah akan menyebut mereka kepada malaikat-malaikat yang berada di sisi-Nya”. (Riwayat Muslim).

Hadirin Jumaat yang dikasihi Allah SWT,

Dalam fasa pembinaan Ummah Rabbani di Madinah, Rasulullah SAW telah menyemai nilai keperibadian yang luhur hingga menjadikan umat Islam ketika itu sebagai umat yang beriman, berakhlak mulia dan sentiasa berlumba-lumba mengerjakan amal soleh.

Namun pada zaman kini, nilai-nilai murni yang membentuk Ummah Rabbani semakin pudar dan terhakis. Ada segelintir dalam kalangan kita menjadikan akal sebagai tuhan, harta sebagai matlamat hidup dan nafsu sebagai pemimpin jiwa.

Mereka tidak lagi tunduk kepada wahyu, bahkan mula mempertikaikan hukum Allah SWT dengan logik akal yang terbatas.

Sedarlah tuan-tuan, apabila hubungan dengan Allah SWT terputus, maka manusia akan hanyut dalam ajaran dan pemikiran yang sesat dan songsang seperti liberalisme yang mengangkat kebebasan mutlak hingga menolak kewajipan agama dan autoriti syarak.

Begitu juga fahaman pluralisme agama, yang menyamakan semua agama sebagai jalan yang benar, lalu menafikan keistimewaan Islam sebagai satu-satunya agama yang diredhai Allah SWT.

Jadi, fahaman-fahaman seperti inilah yang akan mencairkan batas iman, bahkan mengundang kemurkaan Allah SWT.

Kita sebagai penyambung warisan Ummah Rabbani mestilah berani menegur dan melarang segala bentuk kemungkaran serta perbuatan yang bercanggah dengan ajaran Islam.

Ini juga merupakan satu tanggungjawab fardhu kifayah yang menjadi benteng utama dalam memelihara kesucian Islam dan umatnya.

Hal ini selaras dengan firman Allah SWT dalam surah Ali ‘Imran ayat 104 sepertimana yang telah dibacakan pada awal khutbah, maksudnya:

“Dan hendaklah ada antara kamu segolongan umat yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (menyebarkan Islam), dan menyuruh
melakukan segala perkara yang baik (makruf) dan mencegah daripada segala perkara yang buruk dan keji (mungkar). Dan mereka itulah orang yang berjaya.”

Hadirin Jumaat yang berbahagia,

Hijrah Rasulullah SAW telah membawa satu proses perubahan menyeluruh dalam membina masyarakat berteraskan nilai-nilai wahyu.

Di Madinah, Baginda SAW telah menerapkan nilai-nilai murni seperti adil, amanah, dan jujur sebagai asas utama kepada pembentukan Ummah Rabbani.

Justeru, titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor pada 20 April 2025 yang lalu amat bertepatan dengan roh hijrah Nabi SAW yang menyeru agar umat Islam menjauhi perbuatan menipu dan memperdaya sesama sendiri.

Baginda menegaskan bahawa Islam melarang keras penipuan dan penindasan, termasuk dalam isu penawaran pakej haji palsu, skim penipuan (scam), dan eksploitasi sesama Muslim demi keuntungan peribadi.

Titah ini selari dengan ajaran al-Quran dan sunnah yang menuntut kejujuran dan keadilan dalam setiap urusan.

Jenayah penipuan ini jika tidak dibendung, nescaya akan berleluasalah golongan penipu, pembohong dan pendusta yang akhirnya mengundang kemurkaan Allah SWT.

Hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radiallahuanhu bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Akan datang kepada manusia tahun-tahun penuh dengan penipuan; di dalamnya orang yang berdusta dipercayai, orang yang jujur didustakan, orang yang khianat diberikan amanah dan orang yang amanah dianggap
khianat. Dan pada waktu itu, Ruwaibidhah akan bersuara. Para sahabat bertanya: “Siapakah Ruwaibidhah itu?” Baginda SAW menjawab: “Lelaki yang hina berbicara dalam urusan orang ramai.”
(Riwayat Ibnu Majah).

Oleh yang demikian, kita semua bertanggungjawab untuk memelihara
nilai integriti dan amanah dalam setiap aspek kehidupan.

Kita wajib menolak budaya menipu dan menindas, kerana kerakusan mengejar harta dengan cara haram hanya akan menghancurkan nilai persaudaraan dan memadamkan semangat kemanusiaan sesama kita.

Hadirin Jumaat yang dimuliakan,

Nabi SAW mengajarkan umatnya untuk membina kehidupan yang seimbang dari segi pemikiran, kerohanian, akhlak dan kebendaan.

Keseimbangan ini amat penting kerana jika salah satu aspek diabaikan terutama apabila kebendaan dijadikan matlamat utama, maka masyarakat akan mudah terjerumus ke dalam kancah kezaliman, maksiat, salah laku,
rasuah dan pecah amanah yang akhirnya merosakkan diri dan masyarakat
itu sendiri.

Oleh itu, kita seharusnya tidak sekadar mengejar kemajuan fizikal dan kekayaan material, tetapi yang lebih utama adalah menzahirkan keprihatinan terhadap golongan fakir miskin, menjunjung nilai keadilan sosial serta menolak sifat tamak dan kerakusan dalam mengejar kemajuan.

Kemajuan mestilah selari dengan nilai-nilai keinsafan, kesedaran dan tanggungjawab terhadap amanah memakmurkan bumi Allah SWT.

Kita juga mestilah kembali kepada asas keimanan dan kefahaman terhadap tujuan penciptaan alam ini.

Apabila kita benar-benar menginsafi bahawa setiap kejadian langit dan bumi ini mengandungi tanda-tanda kebesaran Allah SWT, maka akan lahirlah rasa takut, syukur dan bertanggungjawab untuk bertindak dan merancang kehidupan dengan tujuan yang jelas.

Firman Allah SWT dalam surah Ali ‘Imran ayat 191 yang bermaksud:

“(Iaitu) orang yang menyebut dan mengingati Allah ketika berdiri, duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (lalu berkata), “Wahai Tuhan kami, tidaklah Engkau menciptakan benda-benda ini dengan sia-sia. Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami daripada azab api neraka!”.

Hadirin Jumaat yang diberkati Allah SWT,

Melihat kepada semangat Ummah Rabbani, kita harus sedar bahawa Ummah Rabbani bukanlah umat yang lemah dan pasif, sebaliknya umat yang kuat, aktif dan berprinsip.

Dalam dunia hari ini, kepantasan maklumat dan perubahan sosial yang begitu drastik, umat Islam tidak sepatutnya menjadi penonton. Kita sepatutnya menjadi pelaku yang memandu arah kemajuan, bukannya sekadar menumpang arus.

Kita harus menjadi contoh kepada seluruh umat manusia dalam soal kejujuran, ketelusan, kasih sayang, toleransi, kepimpinan dan memberikan komitmen terhadap keilmuan dan kemajuan.

Kita juga perlu tampil sebagai umat yang tidak hanya mengejar dunia, tetapi menjadikan kemajuan duniawi ini sebagai alat untuk menyempurnakan peranan sebagai khalifah Allah SWT di muka bumi.

Sebagaimana umat Islam di zaman awal yang menzahirkan kemajuan Islam melalui pencapaian dalam ilmu falak, perubatan, kejuruteraan, ekonomi dan pentadbiran, maka kita hari ini perlu terus menyambung legasi
tersebut dengan meletakkan agama sebagai teras kemajuan, bukannya halangan yang membawa kemunduran.

Hadirin Jumaat yang dirahmati Allah SWT,

Mengakhiri khutbah pada hari ini, marilah kita mengambil beberapa pengajaran untuk dijadikan panduan dalam kehidupan kita iaitu:

  1. Umat Islam hendaklah menghayati makna hijrah sebagai langkah perubahan diri dengan meninggalkan maksiat, kejahilan dan budaya mementingkan diri.
  2. Umat Islam hendaklah membangunkan diri dengan ilmu dan akhlak yang seimbang antara kebendaan dan kerohanian dalam kehidupan seharian.
  3. Umat Islam hendaklah mencontohi teladan Ummah Rabbani yang dibentuk oleh Rasulullah SAW dengan melaksanakan tanggungjawab amar makruf dan nahi mungkar sebagai asas pembinaan masyarakat yang bertamadun.

“Tidaklah patut bagi seseorang itu, setelah dia diberi oleh Allah kitab agama dan kefahaman serta taraf Nabi mengatakan kepada manusia, “Hendaklah kamu menyembah aku dan meninggalkan perbuatan menyembah Allah”. sebaliknya, dia (patut) berkata, “Hendaklah kamu menjadi orang Rabbaniyyin (yang hanya menyembah Allah dengan ilmu dan amalan yang sempurna) kerana kamu sentiasa mengajarkan isi kitab Allah itu dan kamu juga selalu mempelajarinya”. (Surah Ali ‘Imran: 79).


Sumber: Jabatan Agama Islam Selangor bertarikh 27 Jun 2025

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan