DATUK Seri Tengku Zafrul Abd Aziz telah membuat keputusan untuk meninggalkan UMNO bagi membolehkannya menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Menteri Perdagangan, Pelaburan dan Industri itu berkata, sehubungan itu beliau akan melepaskan semua jawatannya termasuk sebagai Ahli Majlis Tertinggi dan Ketua UMNO Bahagian Kota Raja serta keahliannya dalam parti.
Beliau berkata, keputusan yang diambil bukan suatu yang mudah dan telah meminta nasihat dan pandangan daripada sahabat-sahabat dari dalam dan luar parti termasuk Presiden UMNO sendiri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
“Saya telah mengambil masa yang agak panjang untuk memikirkan keputusan ini secara mendalam, terutamanya kerana UMNO adalah satu-satunya parti politik yang saya pernah sertai, sejak tahun 1997 lagi.
“Akhirnya, keputusan ini dibuat setelah bermuhasabah diri dan mengambil kira pelbagai faktor terutamanya faktor keserasian dan kesesuaian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tengku Zafrul berkata, pada masa yang sama, beliau telah menyatakan niat untuk menyertai PKR kepada Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
“Saya akan mengikuti proses permohonan lazim untuk menjadi ahli PKR.
“Saya ingin mengambil peluang ini mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan, penyokong dan ahli-ahli UMNO yang telah banyak memberi saya sokongan dan dorongan sepanjang saya aktif di dalam UMNO.
“Jasa anda tak mungkin akan terbalas dan akan saya kenang sampai bila-bila. Terima kasih,” katanya.
Sejak Disember tahun lalu, telah timbul desas-desus bahawa wujud perbincangan untuk menarik Tengku Zafrul menyertai PKR seterusnya dilantik sebagai Menteri Besar Selangor.
Mengulas isu tersebut, bekas calon Barisan Nasional (BN) di Parlimen Kuala Selangor dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) itu menganggap pemilihan landasan perjuangan adalah hak individu dan hak asasi serta mutlak.
Malahan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga telah mengesahkan wujud perbincangan awal berhubung penyertaan Tengku Zafrul ke da;am partinya.
Perdana Menteri berkata, PKR bersikap terbuka terhadap penyertaan mana-mana individu termasuk Tengku Zafrul ke dalam PKR asalkan individu berkenaan boleh menyumbang kepada parti. – Edisi 9

