Tuesday, July 21, 2026

Makmal vape dadah RM3.3 juta tumpas, 2 warga Taiwan ditahan

Sindiket ini menyewa unit kondominium dengan kadar RM4,100 sebulan untuk menjalankan operasi haram sejak awal tahun lalu.

Mesti Baca

HELAH dua lelaki warga Taiwan menyewa kondominium mewah sebagai makmal memproses dadah jenis cecair vape akhirnya terbongkar apabila diserbu polis minggu ini.

Susulan risikan rapi dan operasi khas Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, sindiket berkenaan berjaya dilumpuhkan dalam dua serbuan berasingan di ibu negara.

Dalam operasi itu, polis merampas pelbagai jenis cecair disyaki dadah jenis Amphetamine seberat 103,965 gram (bersamaan 88.2 liter) serta peralatan makmal bernilai keseluruhan RM3.3 juta, termasuk sebuah motosikal.

Menurut Pemangku Pengarah JSJN Bukit Aman, DCP Mat Zani @ Mohd Salahuddin Che Ali, kedua-dua suspek berusia 30 dan 35 tahun itu dipercayai bertindak sebagai ahli kimia dan penjaga stor makmal berkenaan.

“Sindiket ini menyewa unit kondominium dengan kadar RM4,100 sebulan untuk menjalankan operasi haram sejak awal tahun lalu,” katanya dalam sidang media khas hari ini.

Mat Zani Che Ali menunjukkan bahan kimia yang dirampas dalam serbuan.

Antara barangan yang dirampas termasuk bikar kaca, penimbang digital, alat pengacau elektrik, periuk pendidih, sealer plastik dan 95 katrij filter vape dipercayai sedia untuk diedar ke pasaran tempatan dan antarabangsa.

Lebih mengejutkan, semakan polis mendapati kedua-dua suspek pernah terbabit dalam pelbagai jenayah berat di negara asal, termasuk kes senjata api, pembunuhan dan pemerasan.

“Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan,” katanya lagi.

JSJN turut menjalankan siasatan mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 dan bekerjasama rapat dengan agensi penguat kuasa tempatan dan antarabangsa untuk menjejak rangkaian sindiket lebih besar. – Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan