Thursday, June 4, 2026

Khutbah Jumaat: Kelebihan awal Zulhijah

Keutamaan pada 10 hari awal Zulhijah berbanding hari-hari lain kerana terhimpun padanya pelbagai ibadah utama iaitu ibadah-ibadah solat, puasa, sedekah, haji dan korban, serta hari Arafah.

Mesti Baca

Jemaah yang dirahmati Ilahi,

Marilah kita tingkatkan ketakwaan ke hadrat Allah SWT. Sesungguhnya takwa menjadi benteng utama dalam kehidupan kita, takwa berupaya mengawal hati, akal dan perbuatan agar sentiasa berada di landasan yang mendapat keredaan Ilahi.

Mimbar akan menyampaikan khutbah bertajuk Kelebihan Awal Zulhijah.

Syukur ke hadrat Ilahi atas ihsan kurniaan Nya, kita sekali lagi dipertemukan dengan bulan Zulhijah; salah satu dari 4 bulan Islam yang suci, bulan yang terkandung di dalamnya pelbagai kelebihan amal ibadah, terutama pada 10 hari pertama Zulhijah, selaras dengan firman Allah SWT, ayat 1 hingga 2 surah al-Fajr:

Bermaksud: “Demi waktu fajar; Dan malam yang sepuluh (yang mempunyai kelebihan di sisi Allah)”

Sarjana tafsir Ibn Kathir ketika mentafsirkan ayat 1 hingga 2 surah al-Fajr yang khatib jadikan rujukan; menyebut bahawa malam yang sepuluh, sebagaimana yang difirmankan Allah SWT pada ayat berkenaan, merujuk kepada 10 hari pertama bulan Zulhijah; menandakan keagungan dan keistimewaannya sehingga Allah SWT sendiri bersumpah dengannya.

Rasulullah SAW menjelaskan kelebihan awal Zulhijah berpandukan hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas RA, Sabda Baginda:

Maksudnya: “Tiada hari yang amalan soleh paling disukai Allah untuk dilakukan, melainkan hari-hari ini, baginda memaksudkan: 10 hari terawal Zulhijah. Para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, walaupun jihad di jalan Allah (tidak dapat menandinginya)?” Baginda bersabda, “Walaupun jihad di jalan Allah melainkan seorang lelaki yang keluar berjihad bersama jiwa dan hartanya, kemudian harta dan jiwanya tidak kembali (syahid).” (Hadis Riwayat Al-Bukhari)

Ilmuwan Islam Ibnu Hajar menegaskan keutamaan pada 10 hari awal Zulhijah berbanding hari-hari lain kerana terhimpun padanya pelbagai ibadah utama iaitu ibadah-ibadah solat, puasa, sedekah, haji dan korban, serta hari Arafah.

Himpunan amalan-amalan seperti ini tidak berlaku pada bulan yang lain.

Di samping kelebihan ganjaran yang disediakan pada bulan ini, perbuatan maksiat dan kemungkaran juga hendaklah dijauhi, kerana bulan yang suci ini seharusnya ditumpukan dengan ketaatan, maka tidak seharusnya dicemari dengan dosa seperti yang ditegaskan oleh ahli tafsir, Ibnu Kathir dan Ar-Razi memperingatkan;

Maksudnya: Sesungguhnya maksiat (yang dilakukan) padanya (hari tersebut), lebih berat akibatnya (dosa), dan ketaatan (yang dilakukan) padanya (hari tersebut), pahalanya berganda.

Jemaah yang dilimpahi rahmat Ilahi,

10 hari pertama bulan Zulhijah hendaklah diisi dengan amalan soleh serta kegiatan yang mendatangkan kebaikan. 

Peluang yang menjelma setahun sekali ini, jangan disia-siakan tanpa melakukan usaha untuk merebut kebaikan yang telah Allah SWT anugerahkan. 

Oleh itu, mimbar menyenaraikan beberapa ibadah yang boleh dilakukan seperti berikut:

Pertama: Melaksanakan Ibadah Haji – Ibadah haji merupakan kemuncak amal pada bulan Zulhijah. Bulan-bulan haji bermula dari 1 Syawal sehingga 10 Zulhijah. 

Oleh itu, umat Islam yang berkemampuan dituntut mengunjungi Baitullah, menyempurnakan Rukun Islam kelima, melaksanakan ibadah haji, berpandukan ayat 97 surah Ali-imran:

Bermaksud: “Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji (dengan mengunjungi Baitullah) iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya…”

Kedua: Berpuasa pada 9 Zulhijah – Umat Islam yang tidak mengerjakan ibadah haji, disunatkan berpuasa pada 9 Zulhijah kerana ganjaran besar disediakan bagi mereka yang berpuasa pada hari tersebut, diampunkan dosa selama dua tahun, berpandukan hadis Rasulullah SAW:

Bermaksud: Puasa hari Arafah, aku berharap kepada Allah supaya ia dapat menghapuskan dosa-dosa setahun sebelumnya dan juga tahun selepasnya. (Hadis Riwayat Muslim)

Bagi yang mengerjakan ibadah haji, Allah SWT mengurniakan satu hari yang sangat istimewa, iaitu 9 Zulhijah, hari wuquf di Arafah, dianggap sebagai waktu dan tempat terbaik dimakbulkan doa.

Ketiga: Memperbanyakkan bertakbir, bertasbih dan bertahmid – Umat Islam disunatkan memperbanyakkan memuji Allah SWT dengan amalan bertakbir, bertasbih dan bertahmid. Ibnu Umar RA meriwayatkan sabda Rasulullah SAW:

Bermaksud: “Tidak ada suatu hari yang lebih agung di sisi Allah dan tiada pula hari yang lebih Dia cintai untuk beramal daripada sepuluh hari ini (Zulhijah), maka perbanyakan tahlil, takbir dan tahmid” (Hadis Riwayat Ahmad)

Keempat: Melaksanakan Ibadah Korban – Umat Islam yang berkemampuan dituntut melakukan ibadah korban pada hari-hari tasyrik, bermula 10 hingga 13 Zulhijah. 

Ibadah korban bukan sekadar penyembelihan binatang ternakan, tetapi menterjemahkan sifat takwa kepada Allah SWT, mentaati perintahnya selaras firman yang disampaikan melalui ayat 2 surah al-Kausar:

Bermaksud: “Maka dirikanlah solat kerana Tuhanmu semata-mata dan sembelihlah korban (sebagai tanda bersyukur).”

Jemaah yang didoakan mendapat kebaikan Zulhijah. Mimbar menyenaraikan empat kesimpulan berikut:

Pertama: Rebut peluang kelebihan beribadah semasa sepuluh hari pertama bulan Zulhijah. 

Perbanyakan amal soleh seperti berbuat baik kepada ibu bapa, solat berjemaah, tadabbur al-Quran, berselawat, bersedekah, beristighfar dan berzikir.

Kedua: Berpuasa sunat sembilan hari pada sembilan hari pertama Zulhijah, setidak-tidaknya berpuasa sunat pada 9 Zulhijah, iaitu pada hari Arafah kerana ganjarannya sangat besar.

Ketiga: Melakukan ibadah korban sebagai tanda syukur atas nikmat kurniaan Ilahi. 

Bagi yang tidak mampu melaksanakan ibadah korban, dianjurkan melibatkan diri menghulur bantuan tenaga membantu urusan menyembelih, melapah dan mengagih daging korban.

Keempat: Menyemaikan niat dan azam mahu menunaikan ibadah haji. Lakukan perancangan awal melalui tabungan bulanan, serta mendaftar awal dengan Lembaga Urusan Tabung Haji.


Sumber: Jabatan Agama Islam Perak, 30 Mei 2025

Terkini

Hektar HEIT cadang ambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East

HEKTAR REIT bercadang mengambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East (KYSKLEIS) pada nilai RM125 juta bagi memperkukuhkan aliran pendapatan...

Lagi Artikel Berkaitan