KELAB bola sepak komuniti berpangkalan di Kerteh, Terengganu, Kerteh FC mengumumkan pelantikan Hakka Clo sebagai Rakan Strategik Rasmi bagi musim 2025 hingga 2027.
Menurut wakil pemasaran dan komersial Kerteh FC, Muhammad Yunus Zakariah, di bawah kerjasama itu, Hakka Clo akan membekalkan pakaian rasmi kelab membabitkan semua peringkat.
Beliau berkata, ini termasuk pakaian bagi perlawanan dan latihan untuk peringkat pembangunan seawal bawah enam tahun (U6) sehingga kepada pasukan utama.
“Kerjasama ini merupakan satu langkah strategik yang bukan sahaja memenuhi keperluan teknikal skuad kami, malah memperkukuhkan usaha membina jenama Kerteh FC secara menyeluruh.
“Kami percaya nilai dan aspirasi Hakka Clo sejajar dengan visi kelab untuk jangka panjang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Muhmmad Yunus berkata, pemilihan Hakka Clo sebagai rakan strategik mencerminkan komitmen kelab dalam memperkukuh identiti korporat serta memperluaskan jalinan kerjasama dengan jenama tempatan yang berkualiti dan berwawasan.
Sementara itu, Pengurus Pemasaran Hakka Clo, Hafiz berbesar hati dapat bekerjasama dengan Kerteh FC yang merupakan sebuah kelab yang progresif dan berakar dalam komuniti.
“Kami berharap rekaan dan solusi kami dapat menyumbang kepada prestasi dan penampilan profesional kelab di dalam dan luar padang,” katanya.
Kerjasama ini menandakan satu lagi pencapaian penting dalam agenda pembangunan Kerteh FC, sambil terus memperkukuh keterlibatan dengan komuniti serta memperluaskan capaian jenama ke peringkat nasional.
Untuk rekod, ‘The Oiler’ yang ditubuhkan pada 2018 menjuarai Liga Amatur Terengganu (TAL) pada musim pertama penyertaannya pada 2019 dan pernah beraksi dalam Piala FA pada 2020.
Manakala Hakka Clo pula telah bekerjasama dengan beberapa kelab pembangunan bola sepak di Malaysia selain Akademi Bola Sepak Felda dan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) FC. – Edisi 9

