TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengutuk sekeras-kerasnya serangan udara yang tidak berperikemanusiaan terhadap Gaza sehingga mengorbankan lapan petugas kemanusiaan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM).
Beliau yang merasa amat sedih dan berdukacita dengan berita kematian tersebut menyeru masyarakat antarabangsa agar tidak berdiam diri terhadap kekejaman berterusan di bumi Palestin itu.
“Mereka adalah wira kemanusiaan yang berjuang tanpa mengenal lelah demi membantu saudara-saudara kita yang tertindas.
“Pemergian mereka adalah satu kehilangan besar bukan sahaja kepada MAPIM, tetapi juga kepada seluruh umat yang memperjuangkan keadilan dan kemanusiaan,” katanya menerusi Facebook beliau hari ini.
Sehubungan itu, beliau menyeru umat Islam agar berdoa, bersolidariti dan menyokong perjuangan rakyat Palestin dalam apa jua cara yang termampu.
“Semoga roh para syuhada ini dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan para solihin,” katanya.
Semalam media melaporkan, lapan petugas kemanusiaan MAPUM maut dalam serangan udara oleh rejim Israel di Beit Lahiya, utara Gaza, Sabtu lepas.
Ketua Pegawai Eksekutif MAPIM, Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby dipetik sebagai berkata, serangan berlaku pada 1.30 tengah hari, ketika petugas berkenaan sedang mendirikan khemah untuk menempatkan keluarga yang kehilangan tempat tinggal akibat serangan berterusan Israel.
“Tindakan menyerang orang awam yang sedang menjalankan tugas kemanusiaan ialah jenayah paling keji dan terkutuk.
“MAPIM mengutuk sekeras-kerasnya jenayah perang ini dan menyeru rakyat Malaysia untuk mengadakan doa Qunut Nazilah bagi mendoakan keselamatan saudara-saudara kita di Gaza,” katanya.
Sani Araby berkata, MAPIM dan rakan rasminya Al-Khair Foundation amat terkejut dan berdukacita dengan tragedi meragut nyawa petugas lapangan itu, dengan tiga daripadanya ialah pasukan media yang berdedikasi dalam menjalankan misi kemanusiaan. – Edisi 9

