MESYUARAT Kabinet bersetuju memberikan potongan tol 50 peratus daripada kadar biasa selama dua hari sempena Hari Raya Aidilfitri, kata Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
Beliau berkata, pemberian diskaun tol itu akan dilaksanakan bermula dari jam 12.01 tengah malam 28 Mac 2025 (Jumaat) dan akan berakhir pada Jam 11.59 malam 29 Mac 2025 (Sabtu).
Beliau berkata, pemberian potongan kadar tol itu memberi implikasi kewangan yang ditanggung oleh kerajaan dianggarkan sebanyak RM19.69 juta sebagai bayaran pampasan kepada semua syarikat konsesi tol yang terlibat.
“Diskaun tol ini akan diberikan hanya kepada kenderaan persendirian Kelas 1 sahaja di semua plaza tol kecuali plaza tol di sempadan negara iaitu Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dan Plaza Tol Tanjung Kupang Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (LINKEDUA).
“Pemberian diskaun tol ini yang merupakan kesinambungan kepada bantuan tol musim perayaan yang telah diberikan oleh Kerajaan Madani bagi keempat-empat musim perayaan utama di Semenanjung sejak tahun 2023, adalah selaras dengan teras utama Kerajaan Malaysia Madani iaitu Kesejahteraan dan Ihsan dalam membantu meringankan kos sara hidup rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Alexander berkata, semua pengguna lebuh raya diharapkan dapat memanfaatkan diskaun tol ini dengan sebaiknya dan merancang perjalanan dengan sewajarnya bagi mengelakkan kesesakan lalu-lintas semasa cuti panjang ini.
“Kementerian Kerja Raya, Lembaga Lebuhraya Malaysia, dan syarikat konsesi lebuh raya menyeru pengguna jalan raya agar memandu dengan berhemah, mematuhi peraturan, serta berehat jika letih atau mengantuk.
“Marilah kita bersama menjaga keselamatan, kebersihan, dan keselesaan lebuh raya serta mengurangkan kemalangan,” kata beliau. – Edisi 9

