Thursday, June 4, 2026

MARA batal polisi pembiayaan pendidikan berasaskan merit 

Bahagian Penganjuran Pendidikan MARA akan mengekalkan polisi sedia ada sebelum ini bagi memastikan semua pelajar dapat menikmati Program Tajaan Pendidikan MARA (TESP).

Mesti Baca

MAJLIS Amanah Rakyat (MARA) membatalkan polisi baharu berasaskan merit dan kuota bagi menilai kelayakan penerima pembiayaan pengajian pelajar di institusi pendidikan MARA (IPMA).

Sebaliknya kata Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Bahagian Penganjuran Pendidikan MARA akan mengekalkan polisi sedia ada sebelum ini bagi memastikan semua pelajar dapat menikmati Program Tajaan Pendidikan MARA (TESP).

Menurut beliau, surat tawaran pinjaman pendidikan akan diterima pelajar terbabit secara berperingkat dalam masa terdekat.

Beliau berkata, pembatalan polisi baharu dan kembali kepada polisi asal tanpa sebarang perubahan itu dibuat selepas beliau bertemu serta berbincang dengan pihak pengurusan MARA pagi tadi.

“Alhamdulillah saya sudah bertemu dan berbincang dengan pihak pengurusan MARA pagi tadi. Saya arahkan supaya kembali kepada polisi asal dan tiada perubahan.

“Insya-Allah semua proses pinjaman anak-anak semua sedang dibuat dan boleh disemak dalam sistem bermula petang nanti,” katanya hari ini.

Asyraf Wajdi berkata, tindakan proaktif diambil pihaknya berhubung perkara itu selepas mendapat maklum balas daripada ibu bapa dan pelajar terutama di IPMA bahawa pinjaman pelajaran mereka tidak diluluskan kerana tidak melepasi garis panduan merit (Kuota Tawaran) seperti tertulis dalam garis panduan Tajaan Pendidikan Mara (TESP) 2024 yang terkini. 

Beliau berkata, keadaan itu menyebabkan pelajar yang baru memohon pinjaman TESP terkesan akibat perubahan dasar polisi itu apabila permohonan mereka tidak berjaya akibat kuota tawaran terhad walaupun sudah mencapai syarat asas tawaran pinjaman seperti markah CGPA atas 2.75 dan sebagainya. 

“Adalah tidak adil untuk MARA memperkenalkan polisi baharu kepada pelajar yang sudah memulakan pengajian dan meletakkan harapan untuk mendapat pembiayaan pengajian seperti dijanjikan pentadbir IPMA ketika mereka mendaftar sebelum ini.

“Pada perbincangan dengan pengurusan MARA pagi tadi, saya mengarahkan supaya batalkan polisi baharu itu dan kembali kepada polisi asal sebelum ini. 

“Jadi, semua pelajar khasnya yang berada di IPMA tidak perlu bimbang dan boleh memeriksa status permohonan mereka petang ni dengan surat tawaran dihantar selepas ini,” katanya.

Dalam garis panduan TESP pada November 2024 dinyatakan pertimbangan tawaran pinjaman tertakluk kepada peruntukan sedia ada, merit kelayakan dan perubahan dasar MARA dari semasa ke semasa.

Selain itu MARA juga tidak terikat untuk meluluskan sebarang permohonan diterima walaupun ia memenuhi syarat dan kriteria ditetapkan.

Sebelum ini Asyraf Wajdi mengarahkan segala pembayaran membabitkan IPMA ditangguhkan dulu bagi mengkaji semula syarat baharu dilaksanakan Bahagian Penganjuran Pendidikan agensi itu yang dibuat tergesa-gesa tanpa mengambil kira kesan dan implikasi kepada pelajar IPMA.

Ia susulan ramai pelajar IPMA berdepan kekecewaan apabila permohonan pinjaman pelajaran MARA di bawah TESP 2024 ditolak, malah selepas menunggu dua bulan keputusan permohonan itu diklasifikasikan sebagai tidak layak meskipun yakin pencapaian akademik mereka melayakkan untuk menerima pembiayaan.

Keputusan itu menimbulkan kritikan dan persoalan terutama mereka yang bergantung sepenuhnya pada pinjaman ini untuk meneruskan pengajian ke peringkat ijazah. – Edisi 9

Terkini

Hektar HEIT cadang ambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East

HEKTAR REIT bercadang mengambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East (KYSKLEIS) pada nilai RM125 juta bagi memperkukuhkan aliran pendapatan...

Lagi Artikel Berkaitan