Thursday, June 4, 2026

AEON jalin kemesraan dengan komuniti sempena Ramadan

Mesti Baca

AEON mengukuhkan komitmennya terhadap komuniti tempatan melalui program AEON Mesra Ramadan Bersama Komuniti, satu inisiatif yang direka untuk menyemarakan semangat Ramadan, sambil membina hubungan yang bermakna dengan komuniti.

Acara yang diadakan di AEON Mall Nilai, Negeri Sembilan Jumaat lalu, turut dihadiri oleh Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun; Ahli Dewan Undangan Negeri Nilai, J. Arul Kumar; Pengerusi AEON, Datuk Iskandar Sarudin dan Pengarah Urusan AEON, Naoya Okada.

Pelbagai aktiviti oleh komuniti, termasuk aktiviti gotong-royong menyediakan hidangan tradisional Malaysia seperti dodol dan bubur lambuk diadakan.

Tradisi pengagihan bubur lambuk tahunan ini dilaksanakan di semua 28 lokasi AEON Mall di seluruh negara, dengan sejumlah 31,000 pek dijangka diedarkan secara berperingkat dari 15 hingga 23 Mac.

Pihak pengurusan dan sukarelawan dari AEON, ahli komuniti setempat, wakil dari pihak berkuasa tempatan dan NGO serta pelajar Universiti Antarabangsa INTI, Nilai, turut serta dalam usaha ini.

Aminuddin Harun bersama Naoya Okada mengacau bubur lambuk sambil diperhatikan oleh Iskanda Sarudin di AEON Mall, Nilai baru-baru ini.

Selain itu, AEON dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menganjurkan Bazar Ramadan di beberapa pusat membeli-belahnya, menampilkan 22 perusahaan mikro, kecil, dan sederhana (PMKS), dengan pelbagai keperluan Hari Raya, termasuk kuih raya, pakaian dan aksesori, serta produk hiasan rumah.

Selain menyokong PMKS, inisiatif ini memainkan peranan penting dalam mengukuhkan ekonomi tempatan dan mewujudkan peluang baru untuk usahawan kecil berkembang bersama AEON.

Dalam majlis itu, Aminuddin memuji peranan AEON memupuk komuniti tempatan melalui pelbagai inisiatif, menyebarkan kebaikan dan meriahkan semangat Ramadan.

“Aktiviti ini mencerminkan komitmen AEON dalam mengamalkan konsep Ihsan, yang merupakan salah satu teras utama yang diketengahkan oleh pihak Kerajaan,” katanya.

Antara kemuncak program Ramadan ini ialah inisiatif khas untuk menyokong lebih kurang 100 kanak-kanak dari Pertubuhan Anak Yatim & Miskin Semarak, Sekolah Kebangsaan Nilai Impian, dan Komuniti Sikamat di Seremban.

Mereka menerima RM200 setiap seorang untuk membeli keperluan Aidilfitri, bersama RM50 dalam bentuk duit raya.

Inisiatif ini adalah salah satu program tanggungjawab sosial korporat AEON, yang dikendalikan melalui Yayasan AEON Malaysia (MAF), dengan matlamat memastikan golongan yang memerlukan dapat menikmati sambutan Aidilfitri dengan lebih bermakna.

Sementara itu, Iskandar pula menyatakan bahawa inisiatif melaksanakan pelbagai aktiviti dalam satu lokasi dan pada hari yang sama, membuktikan semangat kebersamaan dan keprihatinan dalam menyambut bulan Ramadan yang mulia ini.

“Ia juga merupakan aspirasi kami untuk memberikan impak positif kepada masyarakat, sejajar dengan nilai AEON yang menitikberatkan kebajikan dan kesejahteraan ekosistemnya,” tambahnya. – Edisi 9

Terkini

Hektar HEIT cadang ambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East

HEKTAR REIT bercadang mengambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East (KYSKLEIS) pada nilai RM125 juta bagi memperkukuhkan aliran pendapatan...

Lagi Artikel Berkaitan